Berita

Penagih dadah ‘tapuk’ bawah katil elak dicekup AADK

SEORANG penagih bertindak menyorok di bawah katil untuk mengelak daripada ditahan pasukan AADK di Kampung Durian Tunjung semalam.
- Diterbit 13 Mac 2020 3:26 AM MYT

LABUAN – Helah seorang penagih dadah bersembunyi di bawah katil untuk mengelak daripada serbuan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) gagal apabila dia dicekup dalam operasi di Kampung Durian Tunjung semalam

Suspek berusia 49 tahun itu antara 14 lelaki yang ditahan dalam Ops Cegah bermula pukul 12 tengah malam hingga 4.40 pagi itu membabitkan sepasukan pegawai penguat kuasa AADK Negeri dan Labuan diketuai Erwan Roslan.

Ketua Pegawai AADK Labuan, Mohd. Hanip Juarip berkata, operasi itu tertumpu di empat buah kampung antaranya Kampung Tanjung Aru, Durian Tunjung, Bukit Kuda dan Bukit Kalam.

Katanya, ketika operasi dilakukan di sebuah rumah di Kampung Durian Tunjung, seorang penagih melarikan diri dan bersembunyi di bawah katil bagi mengelak ditahan.

“Namun usaha itu gagal selepas berjaya dikesan pegawai penguat kuasa AADK.

“Semua tangkapan kemudian dibawa pejabat AADK Labuan untuk tindakan lanjut,” katanya.

PASUKAN AADK menahan seorang penagih di Kampung Durian Tunjung semalam.

Menurutnya, hasil saringan air kencing mendapati semua suspek berusia 18 hingga 51 tahun positif dadah.

“Permohonan reman di Mahkamah Majistret Labuan akan dilakukan dan kes disiasat mengikut Seksyen 3(1) Akta Pemulihan Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983.

“Orang awam yang mempunyai maklumat berhubung penyalahgunaan dadah boleh menyalurkan maklumat dengan menghubungi AADK Labuan di talian 087-422977 atau tampil ke mana-mana pejabat AADK berhampiran,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas