Berita

Aktiviti tabligh di seluruh Selangor ditangguh

AKTIVITI tabligh di salah sebuah masjid. Gambar hiasan
- Diterbit 13 Mac 2020 2:05 AM MYT

Oleh MOHD. YUNUS YAKKUB

SHAH ALAM – Semua aktiviti tabligh di masjid dan surau di seluruh negeri Selangor ditangguhkan buat sementara waktu penularan wabak Covid-19.

Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Mohd. Shahzihan Ahmad berkata,
langkah itu berikutan nasihat Kementerian Kesihatan sehingga keadaan reda.

“Penularan wabak Covid-19 di negara ini menunjukkan peningkatan namun masih dalam keadaan terkawal. Situasi serba sedikit menimbulkan kegusaran orang awam terhadap penularannya.

“Justeru penangguhan aktiviti tabligh itu adalah usaha dalam mengawal dan mengurangkan risiko jangkitan Covid-19,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau memberitahu, beberapa langkah juga perlu diambil dalam meningkatkan pencegahan termasuk menggunakan sabun atau bahan pencuci tangan.

Ujar Mohd. Shahzihan, orang ramai perlu menjarakkan diri sekurang-kurangnya satu meter dari individu yang mempunyai gejala demam, batuk dan bersin.

“Penganjuran program melibatkan orang awam seperti kuliah, ceramah dan majlis pernikahan masih boleh diteruskan dengan mengambil kira langkah-langkah pencegahan dan kawalan bagi mengekang penularan penyakit Covid-19,” jelasnya.

Sebelum ini, Kementerian Kesihatan mengesahkan seorang warga emas positif Covid-19 selepas menghadiri ‘ijtimak tabligh’ di Masjid Seri Petaling, pada 28 Februari hingga 1 Mac lalu.

Warga tempatan berusia 60 itu adalah kes ke-131 yang dikesan Kementerian Kesihatan (KKM) dan mula mempunyai gejala demam, batuk serta selesema pada 4 Mac lalu.

Perhimpunan tabligh itu membabitkan anggaran 10,000 orang dari beberapa negara termasuk Malaysia dengan penyertaan melebihi 5,000 orang. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas