Artikel

Pemuzik jangan tiru Kassim Selamat

- Diterbit 18 Ogos 2020 1:18 PM MYT

MUSIM Covid-19 adalah musim yang menguji mental dan fizikal, musim rakyat berhadapan dengan masalah, bala, penyakit dan tekanan hidup. Kita hanya punya dua pilihan, berhenti atau kita teruskan. Berhenti maknanya kita give up dan putus asa, teruskan maknanya kita teruskan perjuangan untuk survival walau di saat yang kritikal dan menguji tahap ketabahan kita dalam menghadapinya.

Semua itu berpunca dari duit, walaupun duit hanya keperluan, bukan tujuan. Masalahnya kita terlalu bergantung dengan duit, walau kita kata kita tidak bertuhankan duit. Tanpa duit yang mencukupi kita tak boleh hidup. Mencukupi yang macamana tu? Adakah gaji RM10,000 sebulan itu masih tidak mencukupi untuk nilai sebuah keselesaan? Sedang para warga yang bergaji bawah RM2,000 itu tetap bersyukur dengan apa yang mereka miliki, hidup di atas kemampuan mereka.

Hidup ini adalah perjuangan, tak ada manusia yang hidup tanpa masalah, hatta anak orang kaya atau bangsawan sekalipun. Mesejnya jelas sejak tangisan pertama tatkala terbuka mata kita melihat dunia.

Kita menangis kerana beban tanggungjawab yang bakal kita pikul sepanjang bergelar khalifah di muka bumi ini.

Asas yang paling afdal adalah tahap percaya kita pada qada dan qadar serta ujian Allah.

Menghadapi atau menafikan itu adalah pilihan kita. Kalah dan menang itu adalah pilihan kita juga. Hiduplah di atas tahap kemampuan kita. Jangan hidup di luar kemampuan kita.

Dalam sehari dua ini saya menerima berita yang kurang baik tentang kawan-kawan kita di kalangan pemuzik. Seorang penyanyi 60an dan seorang lagi pemuzik mendapat strok kerana darah tinggi. Kita faham kesan PKP selama tiga bulan tanpa berbuat apa-apa melainkan hanya duduk di rumah, ianya memang menguji mental dan fizikal kita. Kalau kerja dengan kerajaan, hujung bulan ada gaji tapi kalau bekerja sendiri sebagai pemuzik contohnya, tak ada kerja tak adalah gaji. Bila tak ada gaji maknanya tak adalah duit untuk kita meneruskan kehidupan. Duit tak ada memang masalahlah, sebab kita tinggal di kota besar seperti di Kuala Lumpur, bukan di dalam hutan.

Sewa rumah perlu dibayar, segala macam ansuran dan bil-bil, semuanya perlu dibayar.

Apabila segalanya tersangkut, maka tekanan dan penyakit pun hinggap, cuma bagaimana caranya untuk kita menghadapi, itu saja.

Baru-baru ini juga heboh di dada akhbar berita tentang seorang bekas juruterbang yang bunuh diri lantaran gagal menghadapi tekanan hidup.

Mendiang juga seorang pemuzik yang saya kenal sewaktu dia belajar alat muzik di Yamaha Music pada awal tahun 2000 dulu, sewaktu saya masih bekerja di syarikat tersebut.

Pemuzik kerjanya tidak punya jaminan masa depan. Ada kerja adalah gaji, kecuali kalau kita menabung dan mengamalkan hidup sederhana juga berjimat cermat.

Saya tertarik dengan cerita Ibu Mertuaku arahan seniman P.Ramlee. tentang Kassim Selamat seorang pemuzik berkahwin dengan anak orang kaya, Nyonya Mansoor lakonan pelakon hebat Mak Dara.Filem terbitan Malay Film Production tahun 1962 ini ceritanya tentang kasta dan darjat, miskin dan kaya.

Walaupun Nyonya Mansoor itu wataknya antagonis atau watak jahat, tapi di sisi lain kita boleh lihat nilai kebaikan terhadap anaknya Sabariah.

Apabila Sabariah mengambil keputusan untuk bernikah dengan Kassim, Nyonya Mansoor membenarkan malah memberi Sabariah RM5,000 untuk Sabariah dan Kassim meneruskan kehidupan rumahtangga mereka. RM5,000 adalah satu jumlah yang sangat besar di awal tahun 60an.

Banyak benda yang boleh dibuat dengan nilai yang sebesar itu, beli tanah, buat rumah dan sebagainya.

Masalahnya Kassim dan Sabariah menghabiskan duit RM5,000 itu dengan tinggal di hotel, hidup macam orang kaya sampailah habis duit tersebut dijoli. sudahnya mereka sudah tidak punya apa lagi ditambah sikap cemburu Sabariah bersuamikan pemuzik.

Bagi saya Kassim Selamat adalah watak seorang pemuzik yang gagal dan inilah yang menjadi amalan dan ikutan kebanyakan para pemuzik zaman-berzaman. Tak ada inisiatif untuk menabung, hidup macam orang kaya, glamour walau poket kosong dan akhirnya mengakhiri hari tua dalam kemisikinan dan tak punya apa.

Oleh itu, beringatlah untuk masa depan.

* Pandangan ini tidak semestinya mewakili akhbar Wilayahku.
Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas