Artikel

Transformasi pasar tradisional

- Diterbit 19 Ogos 2020 1:26 PM MYT

SUDAH berapa lama anda tidak ke pasar tradisional? Apa pandangan anda terhadap pasar? Berbau, kotor atau licin? Kita harus memikirkan bagaimana memperbaiki keadaan ini agar menarik lebih ramai orang mengunjungi pasar.

Pada 12 Julai yang lalu, Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri TPr Annuar Musa mengumumkan bahawa pembinaan kompleks pasar baru Keramat dianggar bernilai lebih RM400 juta yang dijangka bermula pada tahun 2021 akan mengambil kira pandangan daripada persatuan pengguna, peniaga pasar dan penduduk.

Beliau akan fokus untuk memastikan pendapatan penjaja tidak merosot walaupun pembangunan pasar baru dijalankan.

Dari tahun 2015 hingga tahun 2017, IKEA di Taiwan bekerjasama dengan Kerajaan Bandar Taipei untuk mengubahsuai pasar di tempat tarikan pelancong supaya menarik lebih ramai pelancong mengunjungi dan membeli-belah di sana. Contohnya di Tianmu Taipei, terdapat pasar lima bintang yang terlibat di projek tersebut. Selepas transformasi, pasar ini menjadi salah satu tempat yang mesti dikunjungi oleh pelancong asing.

Kelebihan terbasar pasaran ini adalah selesa, cerah dan lebar. Yang paling penting, lantainya kering dan bersih di mana darah dan air tidak mengalir di lantai.

Memang tidah mudah untuk mengubahsuai pasar tradisional. Namun demi kelestarian, kita mesti berusaha untuk perubahan.

Pertama, DBKL boleh menubuhkan jawatankuasa untuk menangani masalah pembaharuan pasaran serta bekerjasama dengan pihak universiti dan NGO yang berkaitan.

Rancangan transformasi pasaran dalam jangka lima tahun dan lebih lama lagi boleh bermula dari pasar kecil.

Kedua, berdialog dengan penjaja di pasar kecil untuk memahami keperluan dan kesulitan mereka, sama ada pasar dalaman atau luaran.

Berkomunikasi dengan mereka secara berkala untuk memastikan bahawa transformasi pasar tidak akan menyebabkan kemerosotan pendapatan dan perniagaan penjaja. Penjaja kumpulan pertama boleh dijadikan sebagai petunjuk untuk memberi keyakinan kepada orang ramai untuk melakukan pembaharuan bersama.

Ketiga, bekerjasama dengan syarikat yang berkaitan seperti IKEA, untuk tajaan bahan, dan reka bentuk. Pembaharuan pasaran tidak semestinya memerlukan projek berskala besar, tetapi juga boleh membuat pemodenan yang memenuhi keperluan penjaja yang berbeza.

Apakah jenis pasar yang kita mahukan? Transformasi pasar tidak memerlukan reka bentuk dan peralatan canggih, sebaliknya memerlukan penyelesaian yang tersasar.

Pasar bagaikan masyarakat kecil di mana pelbagai etnik menjalankan perniagaan dan pertukaran budaya.

Pasar tradisional berpotensi memungkinkan orang ramai belajar tentang budaya dan adat setempat, sementara menjadi tarikan pelancong.

* Pandangan ini tidak semestinya mewakili akhbar Wilayahku.
Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas