Artikel

Sifat tamak ‘kuasai’ kawasan parkir

Masalah parkir di Kuala Lumpur kerana sifat pentingkan diri individu bukannya kegagalan penguatkuasaan.
- Diterbit 17 Ogos 2020 1:30 PM MYT

JUMLAH pendaftaran kenderaan yang meningkat  setiap tahun di Wilayah Persekutuan (WP) bukan sahaja mewujudkan masalah lalu lintas yang serius di ibu negara tetapi menimbulkan masalah tempat letak kereta yang sangat mendesak.

Ini ketara khususnya di kawasan tumpuan awam seperti pejabat kerajaan, tempat menjamu selera, taman-taman dan sebagainya.

Kerana jumlah kenderaan yang bertambah dengan pesat dibandingkan dengan penyediaan kawasan letak kereta, maka adalah situasi biasa kemudahan disediakan tidak dapat memenuhi semua keperluan.

Akibat itulah masalah kekurangan tempat letak kereta tidak dapat diselesaikan sepenuhnya.

Namun Adi sedar pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sentiasa berusaha mengatasi masalah parkir ini dengan sebaik-baiknya.

Adi puji langkah DBKL yang antara lain membina tempat letak kereta bertingkat di tempat-tempat tertentu seperti kawasan perumahan, kawasan rekreasi atau kawasan tumpuan awam seperti stesen Rel Transit Ringan (LRT). Parkir bertingkat boleh memuatkan lebih banyak kenderaan.

Kemudahan yang disediakan ini walaupun mungkin tidak dapat memenuhi keperluan semua pengguna, sekurang-kurangnya usaha bersungguh-sungguh telah dilakukan oleh DBKL untuk mengurangkan masalah parkir yang kian meruncing.

Namun apa yang ingin Adi sentuh ialah sikap tamak dan tidak bertanggung jawab pihak tertentu yang menyalahgunakan kawasan-kawasan letak kereta di hadapan premis mereka untuk kepentingan sendiri.

Ini kerap kita saksikan di kawasan-kawasan yang melibatkan perniagaan, terutama kedai makanan atau restoran 24 jam.

Perhatikan bagaimana pemilik premis makanan ini ‘menguasai’ tempat letak kereta sedangkan petak-petak parkir tersebut adalah kawasan parkir sah DBKL dan pengguna membayar untuk menggunakannya. Tetapi kerap kali pengguna terpaksa mengalah kepada pemilik kedai makanan ini.

Adi dapati seawal pukul empat atau lima petang pemilik restoran sudah memulakan operasi tidak membenarkan pemilik kenderaan meletak kereta.

Caranya dengan meletakkan kerusi meja di petak parkir. Pantang sahaja ada kereta keluar dari petak, para pekerja restoran dengan segera meletakkan kerusi meja di situ. Sepertinya petak-petak tersebut milik mereka.

Akibatnya, walau pun ketika itu masih ada pengguna mahu meletakkan kenderaan, mereka terpaksa berlalu pergi. Maka berpusing-pusinglah mereka mencari tempat lain.
Sikap tamak peniaga ini memang menyusahkan.

Bagi restoran 24 jam, penguasaan ini akan berterusan sehingga ke malam dan seterusnya hingga ke pagi esoknya.

Kerusi meja terus berada di petak parkir, kerap kali sehingga pukul 9 atau 10 pagi masih belum diubah.

Ini satu perbuatan sangat tidak bertanggung jawab dan sangat menyusahkan orang ramai.

Lebih memburukkan keadaan jika di tempat tersebut ada premis tumpuan awam lain seperti bank, klinik atau kedai.

Mereka yang berurusan memerlukan ruang untuk meletakkan kenderaan.

Amatlah tidak sopan bagi pemilik restoran merampas kemudahan yang disediakan untuk orang awam.

Perbuatan ini boleh menyebabkan kesesakan di kawasan berkenaan apabila pemilik kenderaan berpusing-pusing mencari parkir atau meletakkan kenderaan di kawasan bukan parkir.

Oleh itu Adi amat berharap pihak DBKL akan memberi perhatian serius terhadap sikap pemilik premis makanan ini dan bertindak tegas.

Tempat letak kenderaan bukan tempat mereka meletakkan kerusi meja untuk memenuhi keperluan pelanggan sedangkan mereka yang sepatutnya boleh menggunakan tempat tersebut dinafikan hak.

Adi tahu pihak DBKL ada bertindak terhadap premis makanan seperti ini. Namun apa yang Adi perhatikan ia bagai pahat dengan pemukul.

Sekali DBKL bertindak dengan menyita barangan mereka atau mengenakan denda, dua tiga hari selepas itu kerusi meja akan kembali memenuhi ruang parkir.
Pemilik premis tersebut tidak takut dan tidak serik dengan denda.

Adi juga memahami pihak penguatkausa DBKL mungkin menghadapi kekangan untuk membuat pengawasan sepanjang masa.

Ini kerana ia akan melibatkan tenaga kerja yang ramai di samping penguatkuasa juga ada banyak kerja lain untuk dibuat.

Pemilik premis sepatutnya bekerjasama dan tidak mengulangi kesalahan yang menyebabkan mereka diambil tindakan.

Justeru Adi syorkan agar DBKL tidak berlembut dengan mereka yang keras kepala.

Mereka yang didapati terus melakukan kesalahan selepas pernah diberi amaran dan didenda, tindakan drastik wajar diambil.

Batalkan lesen perniagaan mereka. Tunjukkan DBKL benar-benar serius dalam isu ini.

Ada kala untuk menyembuhkan penyakit kita perlukan ubat yang pahit.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas