Berita

Pemilik tutup kandang kerbau Bukit Lanjan

KERBAU BERKELIARAN
KEADAAN semasa kerbau selepas aduan dilakukan.
- Diterbit 10 Januari 2020 5:12 AM MYT

KUALA LUMPUR – Kandang peliharaan kerbau di Bukit Lanjan, Segambut di sini ditutup sekali gus menyelesai­kan isu haiwan berkeliaran pada waktu malam dan pagi di lokasi berkenaan.

NOR HISHAM

Datuk Bandaraya Kuala Lumpur, Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan berkata, perkara itu dimaklumkan pemilik haiwan ternakan ber­kenaan selepas pemeriksaan dilakukan pihaknya di Kampung Sungai Penchala pada 6 Januari lalu.

Ujar beliau, hasil peme­riksaan juga mendapati ti­ada haiwan ternakan seperti lembu dan kerbau berkeliaran pada waktu susulan aduan.

“Pemilik juga me­ngaku kerbau yang dilaporkan dalam akhabar adalah miliknya dan berjanji untuk menyelesaikan masalah berkenaan.

“Dia akan buat pagar di kawasan baharu dalam masa dua hari. Pada masa ini terdapat 13 ekor kerbau dan 18 lembu di tiga lokasi berlainan yang mana lokasi di Bukit Lanjan akan ditutup,” katanya kepada Wilayahku baru-baru ini.

Menurut Nor Hisham, pemilik juga memaklumkan kerbau telah dipindahkan bermula 7 Januari lalu.

Tambah beliau, pemilik juga memaklumkan haiwan ternakannya hanya di­letakkan di dua lokasi iaitu di kawasan bukit dan jalan Sungai Penchala 12 dan Kampung Sungai Penchala yang merupakan kawasan tanah persendirian milik rakannya.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas