Berita

Atasi kesesakan di ibu kota

PROJEK pembangunan di Jalan Alam Damai, Cheras menyebabkan berlaku kesesakan trafik hampir setiap hari. PROJEK pembangunan di Jalan Alam Damai, Cheras menyebabkan berlaku kesesakan trafik hampir setiap hari.
- Diterbit 10 Januari 2020 3:58 AM MYT

Oleh HELMI MOHD. FOAD
[email protected]

KUALA LUMPUR – Bagi mengatasi kesesakan di ibu kota akibat pembangunan dan kepadatan penduduk, Kementerian Wilayah Persekutuan akan memasti­kan segala pelan pembangunan dapat dipatuhi sepenuhnya pada masa akan datang.

KHALID
KHALID

Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abd. Samad berkata, pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) kini sedang menyiapkan Pelan Pembangunan 2021-2040 yang kemudiannya akan dipastikan dapat diwartakan.

“Pelan tersebut juga kita akan warta­kan dan mengikutinya seperti yang dirancang untuk kawal masalah ke­sesakan.

“Sekarang, oleh kerana banyak tidak ikut (pelan) maka banyak masalah timbul tetapi dengan perancangan baharu ini, kita akan cuba ikut dan tentukan tidak tersasar dari­pada apa yang sepatutnya,’’ katanya dalam program Bicara Naratif yang disiarkan TV1 baru-baru ini.

Sebelum ini Pelan Tempatan Kuala Lumpur yang juga dikenali Pelan Bandaraya Kuala Lumpur 2020 (PBRKL 2020) telah diwartakan pada 30 Oktober 2018 dan mempunyai tempoh pelaksanaannya sehingga penghujung tahun 2020.

Melalui Pelan Pembangunan Kuala Lumpur 2040 pula ia menetapkan visi ‘Kuala Lumpur Bandar Untuk Semua’ yang bersifat lebih inklusif, perkongsian, kesaksamaan, mempunyai kepelbagaian dan boleh diakses serta berdaya tahan dan mapan untuk memupuk kemakmuran untuk semua.

Khalid menjelaskan, selama ini sudah ada pelan induk tetapi tidak diikuti sepenuh­nya kerana tidak diwartakan.

“Jadi apa yang saya lakukan ialah wartakan Pelan Pembangunan Kuala Lumpur yang telah disiapkan dahulu, ini bagi mengawal pembangunan dari segi zon perumahan, kepadatan dan sebagainya,’’ katanya.

Tegas beliau, pihaknya tidak akan mengulangi amalan pentadbiran sebelum ini iaitu menyiapkan pelan pembangunan dengan menelan kos berjuta ringgit tetapi tidak diwartakan.

“Apabila permohonan pelan pembangunan dilakukan tidak ikut (perancangan), ini terpaksa kita warisi, ada kawasan pelan asal kawasan hijau tetapi sekarang kita tengok ada bangunan tinggi di atas kawasan lapang.

“Sepatutnya tidak dibangunkan dan kemudian berlakunya kesesakan, ini kerana tidak mengikut apa yang telah dirancang pada awal­nya,’’ katanya.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas