Berita

Labuan FSA muncul johan sukan tiga penjuru

DANIAL (tengah) menyampaikan piala kemenangan kepada kontinjen Labuan FSA yang muncul juara kejohanan Sukan Tiga Penjuru 2019 di Sekolah Antarabangsa Labuan baru-baru ini.
- Diterbit 10 Januari 2020 5:31 AM MYT

AKTIF. Kejohanan Sukan Tiga Penjuru 2019 yang dianjurkan Labuan FSA telah berlangsung dengan jayanya membabitkan lima acara sukan bertempat di Sekolah Antarabangsa Labuan, Labuan baru-baru ini.

Kejohanan yang melibatkan sukan bola jaring, bola keranjang, ping pong, scrabble dan renang itu disertai seramai 105 atlet dari kontinjen Labuan FSA, Bank Negara Malaysia Kota Kinabalu dan Financial Park (Labuan).

Objektif utama bagi program ini adalah untuk merapatkan hubungan dan kerjasama di antara ketiga-tiga organisasi tersebut selain meningkatkan tahap kesihatan fizikal dan mental para peserta dan memupuk semangat kesukanan yang tinggi.

Pada kejohanan itu, Labuan FSA muncul sebagai juara keseluruhan kejohanan tiga penjuru itu dan bendera kejohanan diserahkan kepada FPL yang bakal menjadi tuan rumah acara itu pada tahun 2020.

Majlis penutup kejohanan itu telah disempurnakan Ketua Pengarah Labuan FSA, Danial Mah. Hadir sama Ketua Kontinjen LFSA, Pooi Jun Jin; Valerie Thomas Miji (BNMKK) dan Subramaniam Muniandy (FPL).

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas