Berita

Pemilik premis boleh kemuka rayuan cukai taksiran

ANNUAR ketika menjawab soalan dalam sidang Parlimen. ANNUAR ketika menjawab soalan dalam sidang Parlimen.
- Diterbit 13 Julai 2020 6:55 AM MYT

DEWAN Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) tidak boleh memberikan diskaun terhadap cukai taksiran untuk pemilik premis kerana tiada peruntukan sedemikian di dalam Akta Kerajaan Tempatan.

Walaubagaimanapun, Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri TPr Annuar Musa berkata, Seksyen 162 Akta Kerajaan Tempatan, membolehkan premis-premis atau tuan milik premis yang premis mereka gagal untuk disewakan boleh membuat permohonan pengecualian di bawah akta yang sama untuk dipertimbangkan.

“Bagi pemilik premis yang berhadapan dengan masalah, mereka boleh mengemukakan rayuan untuk menangguhkan pembayaran itu dan membuat bayaran secara ansuran sehingga akhir Disember 2020.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Ahli Parlimen Bukit Bintang, Fong Kui Lun semasa sesi soal jawab pada persidangan parlimen hari ini.

Kata Annuar, di bawah seksyen 134 dan seksyen 135  akta yang sama, pengecualian cukai turut boleh diberikan bagi premis yang bermaksud atau digunakan untuk kemudahan awam termasuklah rekreasi dan sosial.

“Di bawah akta tersebut, DBKL akan mempertimbangkan tetapi memberikan diskaun secara menyeluruh tidak ada peruntukan di dalam akta yang dimaksudkan,” katanya.

Annuar memberitahu, sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) DBKL telah membelanjakan kira-kira RM100 juta dengan mengecualikan  sewa premis bagi para penjaja di premis DBKL selama enam bulan.

“Ia juga meliputi penangguhan bayaran enam bulan bayaran  untuk rumah DBKL dan penangguhan enam bulan bayaran sewa bagi penjaja yang menjaja di premis DBKL,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas