Berita

KWP komited bangunkan kompleks pasar baharu Keramat

ANNUAR turut meluangkan masa membeli keperluan dapur semasa meninjau Pasar Datuk Keramat Kuala Lumpur pagi tadi.
- Diterbit 12 Julai 2020 5:16 AM MYT

KEMENTERIAN Wilayah Persekutuan (KWP) komited untuk membangunkan sebuah kompleks pasar keramat yang tertangguh sebelum ini.

Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri TPr Annuar Musa berkata, pembinaan itu akan dilaksanakan segera selepas mengambil kira cadangan daripada persatuan peniaga, peniaga pasar dan penduduk yang terlibat.

“Jadi dengan melihat sendiri suasana dan mendapat maklum balas secara terus, kita harap persatuan, peniaga dan penduduk dapat dilibatkan sekali supaya memastikan  perancangan berhasil.

“Kita juga mahu memastikan perlaksanaan nanti dapat berjalan dengan baik. Dijangka memakan masa kira-kira lima hingga enam tahun dan akan dibangunkan secara berperingkat,” katanya dalam sidang akhbar selepas melakukan Walkabout di Pasar Keramat di sini hari ini.

Hadir sama, Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan; Pengarah Eksekutif Sosio Ekonomi DBKL, Datuk Ibrahim Yusoof dan Pengarah Eksekutif Pengurusan Projek DBKL, Azmi Abdul Hamid.

Annuar berkata, pembangunan itu perlu diberi keutamaan kerana Pasar Keramat merupakan pasar yang paling maju dan mempunyai ramai peniaga.

ANNUAR beramah mesra dengan penduduk semasa mengadakan lawatan di Pasar Datuk Keramat pagi tadi.

“Saya hendak ia dimajukan dengan berhati-hati dan memastikan agar suasana pasar ini dikekalkan serta tidak menimbulkan masalah apabila ia dipindahkan nanti.

“Tidak bermakna jika berpindah, perniagaan makin merosot kerana kita sudah alaminya dalam perkara sama sebelum ini.

“Biarlah pasar yang akan dibangunkan nanti dapat memberi rezeki yang lebih kepada penjaja dan saya harap biarlah pasar baru itu boleh menambah ruang perniagaan serta bilangan peniaga baru boleh mengambil bahagian,” katanya.

Dalam pada itu, Annuar memberitahu, pembangunan akan dibuat dalam beberapa fasa yang mana pada fasa pertama pemaju perlu memindahkan tapak rumah ke lokasi lain dan rumah baharu perlu dibina serta dijangka memakan masa 30 bulan.

“Apabila penduduk dipindahkan, di sana (lokasi baharu) akan dimajukan dan mereka perlu bina pasar dahulu, kemudian di atasnya akan dibina rumah,” katanya

Tambah Annuar, nilai pembangunan kasar pembangunan keseluruhan kawasan itu dianggarkan kira-kira RM450 juta termasuk nilai tanah yang dianggarkan RM65 juta. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas