Berita

Pembiayaan perumahan SPWP, bantu pemilik percepat proses bayaran

MESIN pembayaran debit memudahkan proses pembayaran balik pinjaman SPWP
- Diterbit 8 Mac 2024 11:00 AM MYT

BAGI melancarkan proses pembayaran pembiayaan perumahan Syarikat Perumahan Wilayah Persekutuan (SPWP), lapan buah mesin pembayaran debit disediakan di Pusat Pemerkasaan Pendidikan dan Komuniti (PREPKOM) terpilih.

Eksekutif SPWP, Muhammad Izzat Amir Mohd Rahimi berkata langkah tersebut bagi memudahkan peserta-peserta yang tinggal di Projek Perumahan Rakyat (PPR) dan Perumahan Awam (PA).

“Sebelum ini, kami dapati rata-rata pemilik rumah perlu bergerak mencari bank berdekatan untuk menjelaskan pembayaran tetapi kita faham akan kekangan yang dihadapi.

“Justeru itu, SPWP mencari penyelesaian dengan meletakkan mesin ini sebagai salah satu alat teknologi yang memudahkan dan mempercepatkan proses pembayaran tanpa perlu bergerak ke mana-mana,” katanya.

Tambahnya, proses pembayaran tersebut melibatkan peserta-peserta Fasa 1 di bawah Skim Pembiayaan Perumahan SPWP dan terbuka hanya untuk pemegang akaun Bank Simpanan Nasional (BSN).

“Biasanya mereka sudah tahu berapa bayaran bulanan yang perlu dijelaskan, jadi setakat ini tiada masalah malah kami dapati sejak adanya mesin ini, ia lebih memudahkan pemilik rumah untuk menyelesaikan pembayaran.

“Mesin ini link dengan BSN namun untuk segala rekod bayaran misalnya dari segi jumlah yang perlu dibayar dan baki tertunggak, ia dikawal oleh SPWP dan pemilik rumah boleh menghubungi SPWP untuk mendapatkan rekod masing-masing,” ujarnya pihak SPWP akan sentiasa memantau segala rekod pembayaran yang dilakukan oleh pemilik rumah.

Dalam masa sama, mereka yang ingin membuat pembayaran balik pinjaman pembelian rumah PPR/PA secara dalam talian, boleh melalui akaun BSN masing-masing.

Terdahulu, lapan PREPKOM yang terlibat adalah PPR Cempaka, PPR Pantai Ria, PPR Kampung Limau, PPR Kerinchi, PPR Desa Tun Razak, PPR Hiliran Ampang, PPR Kampung Baru Air Panas dan PPR Sungai Bonus.

Sebarang maklumat lanjut berhubung skim pinjaman dan proses pembayaran pembiayaan rumah di bawah SPWP, boleh layari laman web rasmi Yayasan Wilayah Persekutuan. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas