Berita

Teater Puteri Hang Li Po kembali

ZUBAIDAH (kiri) ketika Majlis Peluncuran Program IB 2024 dan Buku Rekaan Kostum
- Diterbit 8 Mac 2024 11:05 AM MYT

TEATER Muzikal Puteri Hang Li Po merupakan antara tiga program utama Istana Budaya yang bakal dipentaskan secara eksklusif di pentas Encore Melaka pada Oktober ini.

Ketua Pengarah Istana Budaya, Zubaidah Mukhtar berkata teater muzikal itu mengimbau salah satu sejarah kegemilangan zaman Kesultanan Melayu Melaka yang pernah dipentaskan di Panggung Sari, Istana Budaya pada tahun 2004.

“Istana Budaya akan menjadi sebahagian pemangkin kepada usaha kerajaan melalui Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) menyemarakkan industri pelancongan budaya sekali gus signifikan kepada simbolik sambutan 50 tahun hubungan diplomatik budaya Malaysia dan Republik Rakyat China (RRC).

“Mengekalkan keaslian jalan cerita dengan beberapa penambahbaikan, muzikal gala ini akan menjadi bukti kerjasama strategik bersama Encore Melaka yang telah menjadi venue persembahan antarabangsa tersohor,” katanya ketika berucap pada Majlis Peluncuran Program IB 2024 dan Buku Rekaan Kostum.

Zubaidah berkata meskipun salah satu fungsi Istana Budaya sebagai venue provider ditangguhkan sementara, namun Istana Budaya tetap akan menganjurkan tiga buah program utamanya tahun ini termasuk Program Jangkauan Orkestra Tradisional Malaysia (OTM): Sounds of Malaysia dan Lambang Sari Series.

“Program Jangkauan OTM: Sounds of Malaysia akan diteruskan legasi kecemerlangannya di lima lokasi dengan berfokus kepada Institut Pengajian Tinggi Awam dan Swasta sebagai salah satu platform seni persembahan dan perkongsian ilmu muzik tradisional Malaysia menerusi bengkel yang akan diadakan kelak.

“Satu lagi jenama Istana Budaya yang mendapat tempat di hati khalayak seni Malaysia iaitu Sounds of Malaysia, Lambang Sari Series 2024 juga akan dibawa bersama Program Jelajah ‘Gerak’.  Produk istimewa oleh Orkestra Simfoni Kebangsaan (OSK) ini juga akan berada di beberapa venue persembahan terpilih sekitar Lembah Klang,” ujarnya Istana Budaya pada tahun ini mengambil pendekatan utama melalui Siri Jelajah ‘Gerak’ yang akan membawakan beberapa aktiviti berimpak tinggi.

Mengulas lanjut, Zubaidah berkata Panggung Sari Istana Budaya kini masih belum dibuka untuk beroperasi atas sebab memberi ruang kepada kerja-kerja penambahbaikan dan penyelenggaraan bangunan khususnya bumbung dan dijangka akan beroperasi semula pada tahun 2026 selaras dengan Tahun Melawat Malaysia 2026 (Visit Malaysia 2026). – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas