Berita

Pembelajaran di kampus, sinar baru buat pelajar

||||||||||
- Diterbit 25 September 2021 1:00 AM MYT

PENGUMUMAN Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) mengenai kemasukan pelajar ke kampus bagaikan memberi sinar baru buat pelajar apabila sudah setahun sesi Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) dilakukan secara atas talian.

Perkara tersebut turut disambut baik oleh ibu bapa terutamanya kerana merasakan anak mereka bakal mempunyai semangat baru untuk menempuh semester yang baharu.

ZUHAIMI SAMAT

Zuhaimi Samat, 60, bersetuju dengan keputusan KPT yang memberi kebenaran pelajar lengkap vaksinasi untuk pulang ke kampus.

“Saya rasa gembira kerana persekitaran pembelajaran yang sesuai untuk anak saya apabila dia berada di kampus berbanding sesi pembelajaran atas talian di rumah.

“Anak saya menuntut di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Pagoh, Johor dan pemotongan yuran seperti yang diumumkan KPT sangat membantu golongan yang kurang berkemampuan kerana persiapan sahaja menelan banyak kos,” ujar pesara kerajaan itu.

NORSHAHIDA

Norshahida Sab, 43, pula berpendapat, kemasukan pelajar ke kampus perlu seiring dengan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat dalam memastikan keselamatan pelajar.

“Pada pendapat saya, kemasukkan pelajar ke kampus ini satu tindakan yang bagus namun semua pihak perlu sama-sama memastikan keselamatan pelajar.

“SOP perlu dititik beratkan terutamanya ketika proses pengajaran dan pembelajaran dijalankan,” katanya yang turut merasakan kepulangan pelajar ke kampus seperti memberi semangat baru untuk pelajar terus menuntut ilmu.

NUR DIYANA

]Pensyarah Multimedia Kreatif di Kolej Teknologi Antarabangsa Cybernetics (KTAC), Nur Diyana  Zakaria, 36, berkata, persediaan untuk mengajar secara bersemuka telah mula dilakukan dan tidak banyak perbezaan dengan pembelajaran dan pengajaran seperti sebelum ini.

“Setakat ini perancangannya adalah menyediakan bahan secara gabungan iaitu digital dan tradisional. Bahan-bahan mengajar seperti rakaman video sebelum ini akan diguna pakai juga di dalam kelas secara bersemuka nanti.

“Setakat ini tiada perbezaan dari segi PdP, masih sama seperti sebelum-sebelum ini, cuma kita akan cuba mengaplikasikan SOP yang telah ditetapkan oleh KPT, seperti menjaga jarak dan elakkan kesesakan di dalam kelas,” jelasnya yang berharap PdP secara bersemuka dapat membantu pelajar untuk belajar lebih baik.

Manakala Noor Hilmi Mohd  Johan, 32, pensyarah UiTM Rembau turut mengakui banyak persediaan perlu dilakukan memandangkan PdP secara bersemuka memerlukan aktiviti interaktif yang berbentuk fizikal.

“Apabila pelajar sudah pulang ke kampus nanti banyak persediaan yang perlu dilakukan dan dilaksanakan. Antaranya adalah penyediaan dari segi alat bantuan pembentangan dan modul-modul latihan di dalam kelas.

“Oleh kerana kelas yang bakal melibatkan aktiviti ‘bersemuka’ di antara pelajar dan pensyarah sering kali akan membabitkan aktiviti interaktif yang berbentuk fizikal maka persedian dari segi sanitasi bahan harus dititikberaktan,” jelas pensyarah Fakulti Komunikasi Pengajian Media (FKPM).

Tambahnya lagi sesi pembelajaran atas talian untuk sesi tutorial akan diteruskan dan melalui fasa ini membantu pelajar untuk semakin celik dan pintar teknologi (tech savvy) dalam mengadaptasi suasana pembelajaran baharu. – WILAYAHKU – DIANA AMIR 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas