Berita

“Orang lupa saya sebagai penyanyi, saya tak sedih” – Syafinaz

Syafinaz kini muncul dengan lagu Persis Salju.|SYAFINAZ akui cerewet dalam setiap kerja yang diamanahkan kepadanya.
- Diterbit 7 April 2021 10:49 PM MYT

PENYANYI yang juga guru vokal, Datuk Syafinaz Selamat,48, mengaku tidak sedih atau kecewa apabila ada yang sudah lupa dirinya sebagai penyanyi.

Bagi Syafinaz, setelah 20 tahun tidak muncul dengan lagu baharu, dia sedar ramai generasi muda tidak mengenalinya.

“Orang lupa saya sebagai penyanyi. Orang ramai ingat saya ni hanya cikgu vokal. Saya pun ada dengar cerita, ada yang anggap saya ni mengajar saja, bukan menyanyi. Mereka ini adalah golongan generasi muda.

“Saya tak sedih kerana saya sedar situasi itu memang berlaku. Orang yang melihat saya hanya kumpulan tertentu sahaja kerana saya banyak menyanyi di private function. Jadi tak ramai lihat saya nyanyi.

“Saya sedar perkara itu dan sekarang saya harap tidak terlalu terlambat untuk saya kembali semula. Ini juga cara saya ‘melangsaikan hutang’ orang yang bertanya bila nak keluar lagu baharu,” katanya yang ditemui pada sidang media pelancaran lagu terbaharu berjudul Persis Salju pada 5 April lalu di sebuah hotel di Kuala Lumpur.

SETELAH 20 tahun, Syafinaz kini muncul dengan lagu Persis Salju.

Setelah dua dekad tidak muncul dengan lagu baharu, Persis Salju sedikit sebanyak mengubati kerinduan peminat terhadap Syafinaz.

Lagu bergenre balada klasik ciptaan KuSham dan lirik oleh Zaira ini sudah dirakamkan sejak 10 tahun lalu.

“Pejam celik tanpa sedar, single Persis Salju sudah 10 tahun terperap. Ikutkan saya merancang mengeluarkan lagu ini,tahun lalu.

“Namun, kita diuji pula dengan pandemik COVID-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Jadi, saya harus menunggu masa yang sesuai untuk melancarkannya.

“Jika boleh, saya mahukan masa terbaik dan bersesuaian apatah lagi saya tak keluar dengan single baharu selama 20 tahun. Biarlah promosinya boleh diadakan secara menyeluruh,” jelasnya lagi yang turut mengakui kesibukan bekerja sebagai pensyarah vokal juga antara punca dirinya tidak muncul dengan lagu baharu dalam tempoh dua dekad.

“Saya terlalu sibuk bekerja, nak lancar lagu sudah banyak kali tapi ada sahaja kerja lain yang perlu diselesaikan. Bagi saya, apabila sesuatu peluang itu datang, kita kena rebut.

“Dalam masa yang sama, saya tidak boleh buat banyak perkara dalam satu waktu. Sebab kalau nak keluar lagu atau album, saya kena fokus.

“Saya percaya apa yang terjadi sudah disusun dan ada sebabnya. Saya ikut sahaja apa yang telah ditakdirkan untuk saya,” ujarnya lagi.

SYAFINAZ akui cerewet dalam setiap kerja yang diamanahkan kepadanya.

Sementara itu, Syafinaz juga akui sikap cerewet sebagai pendidik dan penyanyi adalah kerana komitmen terhadap tanggungjawab yang diberikan.

“Nak cakap saya cerewet, memang betul kut. Kena mengakulah kan. Saya cerewet dengan kerja saya dan ia sudah tentu berkaitan dengan tanggungjawab.

“Sebab bila bekerja orang letak kepercayaan kepada saya, saya perlu langsaikan dengan sepenuh hati. Jadi bila fokus kerja, sebab saya juga ada kerja lain (selain menyanyi), sehingga saya lupa apa yang perlu saya buat untuk diri saya sendiri,” jelasnya lagi.

Lagu Persis Salju mengisahkan perasaan rindu yang mendalam terhadap seseorang. Secara peribadi, Syafinaz dedikasikan lagu ini buat arwah ayahnya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas