Putrajaya

Pembangunan pesat Putrajaya, hidupan liar cetus kebimbangan penduduk

KAKITANGAN PPj memasang perangkap kera di kawasan hot spot
- Diterbit 29 Januari 2024 11:35 AM MYT

KONFLIK manusia dan hidupan liar tidak hanya berlaku di luar bandar, sebaliknya ia turut dihadapi di pusat pentadbiran Kerajaan Persekutuan.

Kera, babi hutan, ular dan biawak adalah antara hidupan liar yang berjaya menceroboh masuk ke Wilayah Persekutuan Putrajaya sehingga mencetus kebimbangan penduduk tempatan yang rata-ratanya terdiri daripada penjawat awam.

Menurut Presiden Perbadanan Putrajaya (PPj), Datuk TPr Fadlun Mak Ujud, aktiviti perbandaran dan pembangunan pesat di sekitar Putrajaya telah menimbulkan konflik kepada hidupan liar yang terancam habitat asal sehingga berebut tempat tinggal dengan manusia.

“Bagi mengawal populasi hidupan liar itu, pihak PPj melalui Seksyen Fauna dan Flora Jabatan Landskap dan Taman tidak akan berdiam diri dan sentiasa memastikan ancaman itu dapat dikawal.

“Baru-baru ini kami bekerjasama dengan Jabatan PERHILITAN Semenanjung Malaysia Wilayah telah menjalankan satu operasi kawalan konflik kera di kawasan Kuarters Penjawat Awam P15-12B, Presint 15 yang merupakan salah satu kawasan tumpuan (hot spot).

“Berdasarkan rekod aduan yang diterima, kebanyakan masalah yang dihadapi oleh penduduk adalah kacau ganggu di kawasan penempatan serta tindakan kera menyelongkar sampah dari tong dan rumah sampah,” ujar beliau.

Fadlun berkata keadaan ini telah menyebabkan penduduk berasa tidak selesa disebabkan kekotoran dan kerosakan harta benda yang dihadapi.

Justeru itu, beliau memberitahu pihaknya akan sentiasa mengambil langkah yang terbaik bagi mengurangkan kes tersebut daripada terus berleluasa selain bagi memastikan keselamatan penduduk dan persekitaran sentiasa terjaga.

“Antara tindakan yang telah diambil adalah melalui pemasangan perangkap kera bersaiz besar, operasi tembak halau koloni kera dan khidmat nasihat kepada pengurusan fasiliti kuarters berkaitan pengurusan sampah yang perlu diambil dalam meminimumkan impak konflik,” ujarnya.

Selain itu, beliau memaklumkan papan tanda informasi berkaitan konflik kera juga telah diletakkan di taman-taman awam.

“Ia bagi mengelakkan orang ramai daripada memberi makan dan membuat provokasi kepada kera kerana ia akan meningkatkan lagi risiko berlakunya konflik yang lebih buruk termasuk mendatangkan ancaman keselamatan dan kecederaan.

“Sekiranya ada aduan berkaitan kacau ganggu hidupan liar di kawasan anda boleh membuat aduan rasmi melalui sistem SISPAA PPj,” ujarnya tindakan pencegahan akan dilaksanakan oleh Seksyen Fauna secara berjadual. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas