Berita

Jaga kebajikan petugas keselamatan barisan hadapan – CUEPACS

"Nilai RM200 itu tidak setimpal dengan keringat serta risiko yang dihadapi oleh anggota polis. Ada yang bertugas hampir 30 hari tanpa henti tetapi diminta untk mengisi pelbagai borang tuntutan serta perlu kelulusan pegawai atasan.
ANGGOTA polis melakukan pemeriksaan di sekatan jalan raya di Kajang baru-baru ini. Gambar hiasan
- Diterbit 4 Mei 2020 2:50 AM MYT

PUTRAJAYA – Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) mahu kerajaan mengambil langkah sewajarnya bagi menjaga kebajikan pasukan keselamatan yang bertugas di barisan hadapan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Presiden CUEPACS, Adnan Mat berkata, tragedi berdarah membabitkan kematian seorang anggota polis yang dirempuh oleh pemandu mabuk awal pagi semalam di satu sekatan jalan raya harus membuka mata semua pihak mengenai kebajikan dan keselamatan petugas barisan hadapan.

ADNAN

“Kematian anggota polis yang dirempuh ketika bertugas oleh pemandu mabuk  merupakan satu mimpi buruk kepada seluruh pasukan keselamatan negara dan penjawat awam yang bertugas bagi menjaga ketenteraman awam.

“Pihak berkuasa perlu menjalankan siasatan secara terperinci dan pendakwaan perlu dilakukan dengan segera jika ada unsur jenayah atau kecuaian. Hukuman yang berat dan setimpal perlu diberi sebagai pengajaran kepada semua pihak.

“Dalam masa sama, CUEPACS menggesa supaya pihak Polis Diraja Malaysia melihat lebih mendalam isu kebajikan anggota polis yang bertugas di barisan hadapan,” katanya dalam satu kenyataan.

Dalam kejadian awal pagi semalam, seorang anggota polis, Koperal Safwan Muhammad Ismail, 31,  maut selepas dirempuh dan dihempap sebuah kenderaan pacuan empat roda ketika sedang bertugas dalam sekatan jalan raya di Plaza Tol Kajang Selatan, Lebuh Raya Kajang-Seremban (LEKAS), Selangor.

Adnan berkata, CUEPACS menerima pelbagai aduan daripada anggota keselamatan terutamanya mengenai isu tuntutan elaun Covid-19 berjumlah RM200 kepada anggota polis yang didakwa terlalu banyak birokrasi untuk menuntut elaun tersebut.

“Nilai RM200 itu tidak setimpal dengan keringat serta risiko yang dihadapi oleh anggota polis. Ada yang bertugas hampir 30 hari tanpa henti tetapi diminta untk mengisi pelbagai borang tuntutan serta perlu kelulusan pegawai atasan.

“Jika dikira logik akal anggota keselamatan ini hanya menerima elaun sekitar RM6 sehari sebagai tambahan keringat mereka bertugas lebih masa. Janganlah kita dera emosi mereka dengan kerenah birokrasi yang dicipta sendiri,” ujarnya. – WILAYAHKU

 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas