Berita

NABIL AHMAD Ubah Nasib Orang Susah

Zizan
- Diterbit 12 Disember 2020 11:08 PM MYT

PELAWAK pelakon dan pengacara popular Nabil Ahmad mendedahkan kehidupan sebagai selebriti tidaklah seindah yang disangka.

Di sebalik dunia glamor itu, Nabil juga ada susah senangnya seperti insan lain, cuma tidak dikongsi di media sosial. 

Nabil atau nama sebenarnya Ahmad Nabil Ahmad, 37, menyatakan dirinya pernah berdepan kerugian hampir setengah juta ringgit ketika mula membabitkan diri dalam bidang perniagaan beberapa tahun lalu.

Menurut Nabil, antara punca utama kegagalannya dalam perniagaan adalah tidak mempunyai ilmu perniagaan.

“Sebelum ini pelbagai perniagaan yang saya lakukan antaranya adalah bisnes studio Muay Thai dan zumba.

“Semuanya tak boleh ‘pergi’ (tidak untung). Memang banyak habis duit. Semuanya disebabkan saya tak ada ilmu nak berniaga. Tak tahu nak uruskan hal berkaitan pemasaran dengan betul, main buat sahaja.

“Kita ingat bila ada duit, kita boleh buat (berniaga), tapi itu sebenarnya satu kesilapan.

Nak berniaga kena ada ilmu. Kalau ingat balik (kerugian) memang rasa ralat,” katanya kepada Wilayahku.

NABIL, Zizan, Achey dan Pengasas DoryLicious, Ajai bersama salah seorang ejen mereka

Nabil berkongsi kisahnya itu ketika ditemui pada sidang media pelancaran produk makanan ringan, DoryLicious yang diusahakannya sejak 2019, baru-baru ini.

Menurut pengacara program Meletop itu, kegagalan lalu tidak mematahkan semangatnya untuk terus menjadi seorang usahawan.

Katanya, perniagaan makanan yang diusahakan kini adalah salah satu cara untuk menyalurkan bantuan kepada mereka yang terkesan dengan pandemik COVID-19.

“Sebenarnya, ramai yang mesej di DM (mesej peribadi di Instagram), minta bantuan RM100, RM200.

“Jadi, apa yang saya boleh bantu, saya ajak mereka berniaga,” katanya yang mengusahakan DoryLicious bersama rakan baiknya, Mohd Faizal Aminuddin, 36,yang lebih mesra dipanggil Ajai.

Setakat ini, DoryLicious sudah mempunyai lebih 2000 ejen di seluruh Malaysia.

Nabil juga bekerjasama dengan selebriti serba boleh Zizan Razak dan Achey sebagai rakan kongsi baharu. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas