Berita

“Peluang Berniaga Tidak Harus Dipersiakan” – WAFARIENA

|WAFARIENA berharap anak-anak muda bersungguh-sungguh memanfaatkan peluang berniaga yang diberikan kerajaan.
- Diterbit 29 Ogos 2020 8:35 AM MYT

PERINTAH Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan akibat pandemik COVID-19 memberi kesan kepada ekonomi negara.

Ramai yang kehilangan pekerjaan dan secara tidak langsung kadar pengangguran semakin meningkat.

Disebabkan situasi membimbangkan ini, Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) telah memperkenalkan Program Pembangunan Usahawan Anak Muda Kota yang memfokuskan anak muda, siswazah menganggur serta orang ramai yang kehilangan pekerjaan. 

Apa yang menarik, golongan muda di Wilayah Persekutuan berpeluang menyewa tapak food truck dan kios di lokasi-lokasi strategik  hanya dengan sewa serendah RM 20  sehari.

Pelakon drama bersiri 7 Hari Mencintaiku 2,  Wafariena Roslan,25, menganggap peluang keemasan patut dihargai oleh anak-anak muda. 

“Saya kagum dengan pihak kerajaan kerana sentiasa peka dengan masalah rakyat terutamanya apabila negara dilanda pandemik COVID-19. 

“Semua sektor pekerjaan terjejas dan ini sekaligus menyebabkan ramai kehilangan sumber pendapatan. Bayangkan, apa yang boleh dilakukan dalam masa yang singkat. 

“Jadi, peluang berniaga yang diberikan tidak harus dipersiakan. Iyalah.. peluang bukan selalu datang. Kalau tidak hargai, bila lagi kita hendak majukan diri dalam keadaan ekonomi yang kurang memberansangkan,” katanya kepada Wilayahku.

WAFARIENA berharap anak-anak muda bersungguh-sungguh memanfaatkan peluang berniaga yang diberikan kerajaan.

Wafariena menganggap penyediaan 1,112 tapak perniagaan yang strategik sangat membantu warga Kuala Lumpur dan Putrajaya dalam menjana pendapatan. 

“Jika sebelum ini ramai yang mengadu agak sukar untuk menjana pendapatan dalam perniagaan disebabkan kekangan modal dan sewa premis yang agak tinggi.

“Sekarang peluang terbuka seluas-luasnya buat anak muda. Hanya tinggal usaha dan semangat kuat daripada mereka untuk berdepan dengan cabaran dalam perniagaan.

“Jadi, kita dapat kelebihan program anjuran KWP ini yang memudahkan anak muda berniaga. Permulaan yang baik ini diharap boleh membantu dalam memperkasakan ekonomi negara,” jelas Wafariena lagi yang turut menyokong usaha kerajaan memberi peluang kepada anak-anak muda untuk membuka perniagaan secara francais seperti Tealive, Costa, Coolblog, Jeamsy Coffee dan banyak lagi. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas