Berita

Bantuan awal IPT kurangkan beban

Penyerahan cek Skim Bantuan Awal Kemasukan ke IPT oleh Pengurus Bahagian Pembangunan Pendidikan YWP, Mohamed Firdaus Kamal Hashim Kamal kepada bapa Nornadiah, Roslan Zakaria.
- Diterbit 29 Ogos 2020 3:02 AM MYT

“BANTUAN awal yang diberikan Yayasan
Wilayah Persekutuan (YWP) dapat digunakan untuk membeli barangan keperluan pembelajaran seperti baju korporat dan buku rujukan,” kata Nurnadiah Roslan, 18.

NURNADIAH

Menurutnya yang merupakan salah seorang penerima Skim Bantuan Awal Ke-masukan ke Institusi Pengajian Tinggi (IPT) YWP, sumbangan yang diterima itu juga dapat mengurangkan beban ayah beliau yang kini sudah bersara.

Jelasnya yang belajar di Kolej Teknologi Antarabangsa Cybernatics, Kuala Lumpur, walaupun jumlah bantuan yang diterima adalah RM500, tetapi nilai tersebut memudahkannya menguruskan keperluan awal sebelum memulakan pengajian.

“Ayah juga tidak perlu bagi duit lebih untuk saya mulakan pengajian di Semester 1 ini.

“Ini kali pertama saya dapat dan diharapkan bantuan seumpama ini boleh diberikan berterusan kerana saya tidak mahu menyusahkan mak dan ayah.

“Tambahan pula, kakak saya juga sedang belajar di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Alor Gajah, Melaka dan adik masih bersekolah,” katanya yang mengikuti pengajian Diploma Pendidikan Awal Kanak-kanak.

Dalam pada itu, Nurnadiah menyatakan, dia juga memohon bantuan daripada Baitulmal dan berharap permohonan tersebut diterima.

Seorang lagi penerima, A Kirthika yang kini menuntut di Politeknik Tun Syed Nasir Syed Ismail, Pagoh, Johor dalam jurusan Diploma Kejuruteraan Kimia turut menzahirkan rasa syukur atas bantuan yang diberikan.

“Bantuan yang diberikan bukan hanya memudahkan saya tetapi mengurangkan beban ayah yang kini tidak bekerja kerana masalah kesihatan.

“Saya juga berharap agar bantuan ini boleh diperluaskan lagi di samping penambahan kadar kerana keperluan asas pembelajaran bagi setiap jurusan adalah berbeza.

“Sebagai contoh, saya belajar dalam jurusan Diploma Kejuruteraan Kimia di Johor.

Dengan duit sumbangan itu, saya dapat membiayai kos ke sana selain membeli barangan asas untuk tinggal di asrama dan beberapa keperluan belajar antaranya jubah makmal,” katanya.

ZAIZALNIZAM

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif YWP, Zaizalnizam Zainun berkata, Skim Bantuan Awal Kemasukan ke Institusi Pengajian Tinggi (IPT) pada tahun ini melibatkan 78 orang (sehingga Julai) dengan jumlah peruntukan sebanyak RM59,500.

Tambah beliau, permohonan dibuka sepanjang tahun dan borang permohonan boleh dimuat turun dari laman sesawang Yayasan Wilayah Persekutuan.

Syarat kelayakan Skim Bantuan Awal kemasukan ke Institusi Pengajian Tinggi (IPT)
• Pemohon warganegara Malaysia, lahir, menetap
dan merupakan pengundi (bagi yang berusia 21 tahun ke atas) di Wilayah Persekutuan (KL/Putrajaya/Labuan).
• Manakala ibu/bapa/penjaga merupakan
pengundi di Wilayah Persekutuan (KL/
Putrajaya/Labuan) bagi pemohon yang berusia
21 tahun ke bawah.
• Pendapatan perkapita keluarga tidak melebihi
RM1,000 sebulan.
• Pemohon yang masih menuntut di semester 1, tahun pertama sahaja yang layak memohon.
• Kursus Pengajian adalah bagi Peringkat Diploma, Ijazah Sarjana Muda, Sarjana dan
Kedoktoran sepenuh masa sahaja.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas