Berita

DBKL sedia garis panduan penggunaan fasiliti kempen PRU-15

PENYEDIAAN Garis Panduan Penggunaan Fasiliti Milik DBKL digunakan sebagai rujukan berkaitan penggunaan dan penyewaan fasiliti miliknya kepada calon parti politik untuk tujuan kempen PRU.
- Diterbit 4 November 2022 4:14 AM MYT

BERSEMPENA dengan Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) telah menyediakan Garis Panduan Penggunaan Fasiliti Milik DBKL bagi penggunaan berkempen kepada semua calon parti politik yang berhasrat menggunakan fasilitinya.

Menurut Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Mahadi Che Ngah, garis panduan ini disediakan sebagai rujukan berkaitan penggunaan dan penyewaan fasiliti DBKL kepada calon parti politik untuk tujuan kempen PRU secara amnya serta memudah cara proses permohonan dan kelulusan.

“Calon parti politik dikehendaki membuat tempahan bagi tujuan penggunaan dan penyewaan fasiliti DBKL iaitu padang-padang awam, dataran awam dan kawasan lapang perumahan awam yang sesuai dan berada di bawah seliaan DBKL untk dijadikan tempat berkempen.

“Calon parti politik dibenar menggunakan mana-mana fasiliti DBKL yang diluluskan pada had maksima tiga hari penggunaannya secara berturut-turut atau pada tiga tarikh yang berbeza-beza untuk satu-satu lokasi.

“Mana-mana calon parti politik yang berminat untuk menggunakan fasiliti DBKL boleh membuat permohonan bermula 1 November 2022 dengan mengemukakan permohonan rasmi secara bertulis kepada Pengarah, Jabatan Pelesenan dan Pembangunan Perniagaan (JPPP) DBKL. JPPP adalah Sekretariat kepada Jawatankuasa Pusat Setempat (One Stop Centre) PRU-15 di bawah pentadbiran DBKL,” katanya dalam satu kenyataan.

Tambah beliau, permohonan hendaklah dikemukakan selewat-lewatnya tiga hari bekerja sebelum tarikh penggunaan.

“Fasiliti DBKL boleh mula digunakan pada 5 November 2022 dan berakhir pada 18 November 2022 tepat pukul 11.59 malam.

“Untuk sebarang pertanyaan lanjut, sila hubungi OSC PRU-15 di talian 03-2028 2534 atau datang ke Bahagian Selatan, Tingkat 5, Menara DBKL 2, Jalan Raja Laut, 50350 Kuala Lumpur. Garis panduan tersebut boleh didapati di OSC PRU-15,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas