Berita

Pelajar IPT ingkar kuarantin sebabkan penularan Covid-19

PELAJAR IPT yang melakukan rentas negeri perlu jalani kuarantin di rumah. Gambar hiasan PELAJAR menaiki bas menuju ke Terminal Feri Antarabangsa Labuan.
- Diterbit 18 Mei 2020 12:01 PM MYT

PUTRAJAYA – Semua penuntut institusi pengajian tinggi (IPT) diminta patuh kepada arahan kuarantin di rumah yang diwajibkan kepada mereka.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, tindakan beberapa penuntut sebuah IPT yang ingkar menyebabkan mereka dijangkiti Covid-19.

“Mereka didapati tidak patuh kepada notis arahan di bawah Seksyen 14, Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit, 1988 (Akta 342).

“Ini boleh memberi risiko jangkitan kepada orang berisiko tinggi seperti warga emas, kanak- kanak dan orang yang mempunyai sejarah penyakit kronik

“KKM (Kementerian Kesihatan Malaysia) menyeru semua pelajar mengambil iktibar daripada kes itu,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Tambah Dr Noor Hisham, Kementerian Pengajian Tinggi telah menghantar 49,019 penuntut di seluruh IPT ke keluarga masing-masing bermula 27 April hingga semalam.

Katanya, pelajar di Semenanjung yang meretas negeri diwajibkan menjalani kuarantin di rumah untuk 14 hari apabila tiba di kediaman.

“Bagi pelajar pulang ke Sabah dan Sarawak pula perlu menjalani persampelan Covid-19. Sekiranya keputusan negatif, baki tempoh kuarantin perlu dijalankan di rumah masing-masing,” katanya.

Sementara itu, Dr Noor Hisham melahirkan kebimbangan dengan jumlah kenderaan yang cuba merentas negeri dalam tempoh tiga hari ini.

Ini sememangnya merisaukan terutama jika dicampur pula dengan pelajar-pelajar IPT yang telah pulang ke keluarga masing-masing, katanya.

“Sehingga hari ini, daripada jumlah keseluruhan Covid-19, seramai 961 adalah warga emas berumur 60 tahun ke atas dan kanak-kanak berumur 12 tahun ke bawah pula merangkumi 318 orang.

“Jika dilihat dari segi faktor komorbiditi, setakat semalam, didapati 10.8 peratus iaitu 744 kes membabitkan penghidap kronik seperti kencing manis, darah tinggi, penyakit buah pinggang, penyakit jantung dan lain-lain penyakit.

“Kumpulan berisiko tinggi ini perlu dilindungi. Lindungi sempadan negara, negeri, daerah, rumah dan juga keluarga kita,” nasihatnya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas