Berita

Bekas pesakit Covid-19 perlu akur kuarantin 14 hari

KAWALAN dilakukan ke atas penduduk di Taman Sri Murni, Kuala Lumpur bagi memastikan mereka mematuhi SOP ditetapkan.
- Diterbit 18 Mei 2020 12:45 PM MYT

PUTRAJAYA – Pesakit Covid-19 yang disahkan pulih serta dibenarkan keluar hospital perlu menjalani kuarantin 14 hari lagi di rumah.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, sepanjang tempoh kuarantin itu, bekas pesakit tidak boleh menerima kunjungan serta bergaul dengan ahli keluarga.

“Pesakit yang sudah sembuh jika mereka dikesan negatif dan kita akan discaj pesakit terbabit, tetapi mereka perlu dikuarantin untuk 14 hari di rumah selepas keluar dari wad.

“Dalam tempoh 14 hari itu, kalau boleh jangan ada pelawat yang jumpa pesakit. Selepas 14 hari di rumah barulah mereka boleh berjumpa pelawat, namun perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan,” katanya dalam sidang akhbar hari ini.

Tambah Dr Noor Hisham, tindakan itu
bagi memastikan bekas pesakit tidak dijangkiti semula atau menjangkiti orang lain.

“Kita tak akan discaj pesakit sehingga ujian menunjukkan negatif, jadi kita amalkan kuarantin 14 hari di rumah sebelum mereka berjumpa atau bergaul dengan ahli keluarga,” katanya.

Terdahulu, Dr Noor Hisham memaklumkan terdapat pertambahan 47 kes baharu hari ini dengan 21 darinya membabitkan kes import.

Bagi penularan tempatan, 17 darinya pula dalam kalangan warga asing.

Bagi kes pulih, 44 pesakit disahkan sembuh dan dibenarkan keluar hospital hari ini menjadikan jumlah sembuh 5,615 kes. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas