SERING bergelumang dengan sampah dan kotoran lain selain berisiko dijangkiti penyakit berbahaya tidak sedikitpun mematahkan semangatnya untuk terus memastikan setiap inci Labuan kekal bersih dan indah.
Pengorbanan yang dilakukan oleh wira yang tak tidak didendang ini bukan sahaja memastikan persekitaran bersih dan selesa, malah mereka sanggup berpanas, berhujan sert menggadaikan nyawa bagi memastikan warga Labuan dapat menikmati kualiti hidup yang terbak seperti bandar raya lain.
Menurut kenyataan Jabatan Perbandaran Perbadanan Labuan (PL) pihaknya menguruskan sisa pepejal lebih 1,000 tan sehari melalui kakitangan Seksyen Pembersihan malah jumlahnya boleh menjangkau dua kali ganda ketika musim perayaan sebelum ia dibawa ke Pusat Pelupusan Sisa Pepejal di Bukit Kalam.
Pembantu Awam PL, Jaafar Ibrahim, 55 yang sudah berkhidmat dengan PL sejak 18 tahun lalu berkata biarpun dibelenggu dengan bau busuk serta keadaan yang tidak selesa, dia reda kerana ia merupakan rezeki halal untuk keluarga selain berpuas hati apabila dapat memastikan persekitaran pulau ini bersih.
“Bekerja sebagai pembantu awam ini sudah pasti perlu menghadapi kotoran sampah, busuk dan meloyakan dan ada kala berdepan dengan pelbagai haiwan berbisa antara perkara yang sudah biasa ditempuhi.
“Selain itu, saya pernah dikejar anjing ketika bekerja dan ia merupakan perkara biasa dan ia adalah perkara biasa yang perlu kami hadapi setiap hari dan itu adalah sumbangan yang kami curahkan kepada masyarakat khususnya kepada Labuan,” katanya.
Sementara itu, rakan sekerjanya, Sazali Salim, 50, menceritakan sejak hari pertama memulakan tugas, beliau sudah biasa dicemuh penduduk serta dipandang hina disebabkan bekerja sebagai pengutip sampah.
“Saya pernah bertegang urat dengan orang ramai yang mungkin tidak memahami tugasan kami dan sering juga tidak dilayan atau disapa dan kami menganggap itu adalah perkara biasa,” katanya.
Sazali berkata, meskipun sering berhadapan dengan pelbagai situasi namun dia dan rakan sekerjanya menganggap ianya sebagai cabaran dalam pekerjaan dalam usaha memastikan pulau ini bersih dan indah.
“Kami tidak diminta untuk dihargai atau sebagainya namun apa yang saya dan rakan-rakan sekerja hanya memohon kerjasama dengan masyarakat di pulau ini untuk memberikan kerjasama dan menjaga kebersihan agar menjamin kesejahteraan kita bersama demi memberi kehidupan yang lebih selesa buat semua,” katanya. – WILAYAHKU