Berita

Pecah tingkap, selamat diri daripada kebakaran

- Diterbit 16 Januari 2021 10:58 AM MYT

SEORANG lelaki berumur 46 tahun mengalami cedera di bahagian kepala dan tangan ketika menyelamatkan diri dengan memecahkan tingkap semasa rumahnya dijilat api di Kampung Kilan, Labuan, awal pagi tadi.

Kebakaran itu mengakibatkan rumah mangsa hangus 80 peratus dijilat api.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Labuan, Ismaidi Ismail berkata, Pusat Gerakan Operasi JBPM terima panggilan kecemasan pada pukul 8.10 pagi.

“Terdapat dua orang tinggal dalam rumah berkenaan iaitu ayah bersama anak lelakinya berusia lingkungan 20an dan ketika waktu kejadian, anaknya sudah keluar rumah untuk kerja manakala ayahnya pula masih tidur.

“Salah seorang saudaranya yang menyedari kebakaran berlaku di rumah mangsa nekad memecahkan semua cermin tingkap bagi mencari kedudukan mangsa.

“Mangsa kemudian berjaya keluar melalui tingkap yang dipecahkan saudaranya itu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini

Tambahnya, operasi pemadaman sepenuhnya pada pukul 8.50 pagi dan punca kebakaran masih dalam siasatan.

“Mangsa yang cedera dihantar ke Hospital Labuan bagi mendapatkan rawatan,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas