Utama

PdPR semasa pandemik mampu jadi model amalan pendidikan lebih fleksibel

- Diterbit 20 Januari 2021 12:23 PM MYT

PELAKSANAAN Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) sewaktu tempoh pandemik COVID-19 ketika ini, boleh dijadikan model dalam mewujudkan amalan pendidikan yang lebih fleksibel.

Walaupun dibuat dalam keadaan terpaksa bagi menggantikan kaedah pembelajaran bersemuka untuk membendung penularan wabak itu, apa yang dilaksanakan boleh dijadikan panduan atau diperbaiki bagi mencari kaedah PdPR yang lebih baik pada masa hadapan, selaras dengan teknologi komunikasi masa kini.

Pensyarah Fakulti Pendidikan Universiti Malaya (UM) Rahimi Md Saad berkata menerusi PdPR, teknologi boleh dimanfaatkan untuk memajukan lagi amalan pendidikan di negara ini.

“Jika sebelum ini kita lebih berteori dalam aspek penggunaan teknologi dalam pendidikan, namun pada waktu terdesak ini, ia menjadi suatu kaedah penting dan perlu dikuasai semua pihak, bukan sahaja pelajar,” katanya ketika dihubungi Bernama TV baru-baru ini.

Rahimi berkata kaedah pengajaran dalam talian juga mampu meningkatkan keupayaan guru, mempelbagaikan pendekatan mengajar dengan lebih kreatif dan berkesan, agar dapat menarik murid mengikuti kelas mereka.

“Apabila dalam keadaan terdesak, guru akan melatih diri mereka memiliki kemahiran yang lebih baik, dan apabila keluar daripada situasi pandemik ini, mereka (guru) telah bersedia berdepan apa saja situasi akan datang,” katanya.

Rahimi berkata, PdPR juga menjadikan pembelajaran sepanjang hayat dapat diterapkan dengan lebih meluas dan berkesan.

Beliau berkata literasi, penguasaan dan kemampuan e-pembelajaran juga, akan lebih meningkat sama ada dalam kalangan guru, murid-murid atau ibu bapa.

“Ia (PdPR) akan jadikan mereka berkemampuan dari segi learning discovery, pembelajaran kendiri, dan mampu mengakses sendiri sumber-sumber pengetahuan dalam internet, yang dahulunya (ilmu) dilihat terhad, hanya daripada guru, buku teks dan buku rujukan di perpustakaan,” katanya.

Beliau berkata PdPR juga secara tidak langsung mampu meningkatkan pengetahuan dan kecaknaan ibu bapa berkaitan teknologi.

“Secara tidak langsung mereka boleh kenal apa kaedah yang perlu digunakan, penggunaan peranti apa, tablet, komputer riba, telefon bimbit, platform ‘Zoom’, ‘Google Meet’, ‘Google Classroom’ juga akan menjadi lebih meluas dalam kalangan ibu bapa,’’ katanya.

Sesi persekolahan 2021 yang bermula hari ini, menyaksikan murid sekolah rendah dan pelajar Tingkatan 1 hingga Tingkatan 5 di sekolah menengah, mengikuti pembelajaran melalui kaedah PdPR mengikut kesesuaian guru dan murid.

Sesi persekolahan secara bersemuka hanya membabitkan calon yang akan menduduki peperiksaan utama bagi 2020.

Ini seiring dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang kembali dilaksanakan kerajaan susulan peningkatan kes COVID-19. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas