Utama

Pembangkang setuju sertai Jawatankuasa Khas Bebas mengenai darurat

- Diterbit 20 Januari 2021 12:19 PM MYT

BLOK pembangkang hari ini bersetuju menghantar tiga nama Ahli Parlimen bagi menyertai Jawatankuasa Khas Bebas yang akan menasihati secara langsung Yang di-Pertuan Agong berhubung darurat yang dilaksanakan sehingga 1 Ogos ini.

Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata Setiausaha Agung Pakatan Harapan (PH) Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail akan menghantar nama wakil pembangkang dalam jawatankuasa itu kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Takiyuddin Hassan.

“Kita sambut kewujudan jawatankuasa itu dan kita akan hantar wakil kerana jawatankuasa itu akan memberi pandangan berkaitan darurat. Cuma ia tidak sama seperti sidang Parlimen dan ia tidak khusus. Oleh kerana ia titah Yang di-Pertuan Agong, kita ambil keputusan untuk memberikan kerjasama.

“Sebelum ini, Saifuddin telah menghubungi Menteri Undang-Undang (Takiyuddin) untuk mendapatkan penjelasan tentang siapa pengerusi jawatankuasa, apa tugas ahli sebelum kita hantar nama. Kita perlu mendengar jawapan itu dahulu. Hari ini Saifuddin akan hantar nama,” katanya dalam sidang media dalam talian hari ini.

Kerajaan sebelum ini bersetuju menubuhkan sebuah jawatankuasa khas bebas berkenaan dan menasihati Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sepanjang pelaksanaan darurat sehingga 1 Ogos ini.

Pada 12 Jan lalu, Al-Sultan Abdullah memberi perkenan Pengisytiharan Proklamasi Darurat dilaksanakan sehingga 1 Ogos depan, sebagai langkah proaktif membendung wabak COVID-19 di Malaysia.

Di bawah Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021, antara lain  memperuntukkan penubuhan sebuah Jawatankuasa Khas Bebas untuk menasihati Yang di-Pertuan Agong mengenai kewujudan berterusan darurat besar yang mengancam keselamatan, kehidupan ekonomi dan ketenteraman awam dalam persekutuan berikutan pandemik Covid-19.

Sementara itu, Anwar mendakwa sejumlah Ahli Parlimen telah menyembahkan warkah kepada Seri Paduka Baginda bagi memohon pertimbangan supaya sidang Parlimen diadakan.

Ordinan berkenaan melarang pilihan raya umum, pilihan raya negeri dan pilihan raya kecil serta persidangan Parlimen dan Dewan Undangan Negeri diadakan sepanjang tempoh darurat dilaksanakan. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas