Berita

Pasukan Khas pantau orang ramai patuh SOP

- Diterbit 5 Mei 2020 9:45 AM MYT

PUTRAJAYA – Pasukan Khas Operasi Pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) ditubuhkan bagi memantau kepatuhan orang ramai sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menegaskan penubuhan pasukan itu oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) adalah selaras sebagai 14 agensi yang diberikan kuasa oleh Kementerian Kesihatan (KKM).

“Polis tidak lagi tumpu kepada sekatan jalan raya kerana selepas PKPB dilaksanakan fokusnya bukannya pergerakan kecuali rentas negeri.

“Alasan untuk keluar pun dah banyak, jadi tidak mungkin polis boleh sekat pergerakan untuk keluar dari rumah.

“Tumpuan adalah dari segi pematuhan SOP dan di peringkat daerah sekalipun pasukan khas ini juga ditubuhkan dengan anggota tetap terdiri daripada PDRM, Angkatan Tentera Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), ” katanya dalam sidang akhbar harian di sini.

Beliau memberitahu, selain PDRM turut diberikan kuasa oleh KKM adalah ATM, APM, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Rela, Jabatan Imigresen, Jabatan Kerja Raya, Jabatan Pengangkutan Jalan, Majlis Keselamatan Negara, Jabatan Tenaga Kerja, Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna.

Jelas beliau, mesyuarat pagi tadi turut bersetuju Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) turut dimasukkan dalam agensi terbaru tersebut.

Mengulas lanjut, Ismail Sabri menjelaskan, gerak kerja pasukan khas itu bermula dengan memberikan nasihat sebelum disusuli dengan amaran.

“Sekiranya terus berdegil, tindakan undang-undang akan dikenakan mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit atau Akta 342.

“Sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum enam bulan, denda sehingga RM1, 000 atau kedua-duanya sekali,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas