Berita

Kawalan diri sendiri jadi amalan baharu rakyat

KAWALAN dilakukan ke atas penduduk di Taman Sri Murni, Kuala Lumpur bagi memastikan mereka mematuhi SOP ditetapkan.
- Diterbit 5 Mei 2020 10:05 AM MYT

PUTRAJAYA – Masyarakat negara ini didapati menjadikan kawalan diri sebagai budaya baharu dalam kehidupan seharian mereka pada hari pertama Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) semalam.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, berdasarkan laporan Polis Diraja Malaysia (PDRM) menyaksikan peningkatan jumlah kenderaan namun keadaan terkawal dengan mematuhi prosedur standard operasi (SOP) PKPB.

“Semalam hari pertama PKPB, ramai anggap termasuk saya akan berlaku kekecohan dan huru-hara.

“Bayangkan telah lama berada di rumah, semalam dibebaskan tentulah keadaan huru-hara sebab ramai keluar.

“Namun keadaan terkawal dengan pemilik perniagaan mematuhi SOP iaitu melakukan pemeriksaan suhu badan, menyediakan hand sanitizer, kawal kemasukan pelanggan selain orang ramai menggunakan topeng muka dan beratur dengan tertib,” katanya dalam sidang akhbar harian di sini.

ORANG ramai mengamalkan penjarakan sosial. 

Beliau turut melahirkan keyakinan sekiranya kawalan kendiri diamalkan secara berterusan secara langsung dapat mengekang penularan Covid-19 walaupun kelonggaran diberikan kerajaan ketika ini.

“Justeru, saya mewakili kerajaan merakamkan ucapan terima kasih kepada rakyat yang telah mempunyai kesedaran dan mampu untuk membuat kawalan kendiri.

“Begitu juga pemilik premis perniagaan yang mematuhi SOP telah ditetapkan ini,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas