Berita

Pasukan floorball UM pamer kehebatan di MIFC

Kesemua peserta MIFC 2019 bergambar kenangan selepas kejohanan.
- Diterbit 7 Februari 2020 3:35 AM MYT

HEBAT. Pasukan floorball wanita dan lelaki Universiti Malaya (UM) masing-masing dinobatkan sebagai johan dan naib johan Kejohanan Floorball Antara Universiti (MIFC) di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) Kampus Sultan Azlan Shah, baru-baru ini.

Kejohanan MIFC yang julung kali diadakan itu menerima penyertaan dari lima buah universiti iaitu Universiti Malaya (UM), Uiversiti Sains Malaysia (USM), Universiti Tenaga Nasional (Uniten), Universiti Kuala Lumpur (UniKL) dan UPSI.

Menurut pelajar tahun kedua Pusat Sukan dan Sains Eksesais UM, Ainul Halili Ikhsan Zainal Abidin, 20, sebanyak lapan buah pasukan lelaki dan enam pasukan wanita mengambil bahagian dalam kejohanan yang dianjurkan secara bersama antara UPSI dan Persatuan Floorball Malaysia.

“Perlawanan akhir kategori lelaki menyaksikan pertembungan antara pasukan Uniten dan UM yang berkesudahan dengan jaringan gol 2-1 yang memihak kepada pasukan Uniten.

“Untuk kategori wanita, pasukan UM mengambil peluang membenam pasukan Uniten dengan 3 gol berbalas 2,” katanya yang juga salah seorang pemain pasukan UM.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas