Berita

Pupuk jaga alam sekitar di Labuan

KAWASAN Pantai Tanjung Purun. - Gambar hiasan
- Diterbit 7 Februari 2020 3:38 AM MYT

LABUAN – Program bertemakan alam sekitar yang dianjurkan Projek Seni Komuniti Labuan (LCAP) menjadi antara program menarik sempena Sambutan Hari Wilayah Persekutuan (SHWP) 2020 di sini.

Pengerusi Perbadanan Labuan (PL), Datuk Seri Amir Hussein berkata, program tersebut dicetuskan oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dengan kerjasama Jabatan Pelancongan PL dengan mengenengahkan kempen 3R iaitu ‘guna semula, kurangkan, dan kitar semula.

“Ia juga merupakan kempen cara hidup baharu iaitu ‘Say No to Plastic’ bersempena dengan Program Bandar Hijau di mana program ini merupakan permulaan untuk mendidik warga Labuan untuk mengamalkan gaya hidup tanpa penggunaan beg plastik.

“Bersempena dengan SHWP 2020, kita akan terus bekerjasama dengan NGO untuk menyedarkan orang ramai tentang kepentingan menjaga alam sekitar sesuai dengan kedudukan Labuan sebagai sebuah pulau peranginan.” katanya kepada Wilayahku baru-baru ini.

Kata Amir lagi, projek tersebut diuruskan oleh seorang Pengurus Projek ‘Recycle Art Garden’ dengan kerjasama Rukun Tetangga Kampung Durian Tanjung.

“Projek yang akan dibina adalah Arca Mutiara yang menjadi simbol kepada nama lain Labuan iaitu Mutiara Borneo di Taman Awam, Pantai Tanjung Purun yang dijangka selesai pada Mei ini.

“Taman ini akan menggunakan 90 peratus bahan kitar semula seperti tayar lama, kepingan besi, palet kayu dan botol plastik yang akan dijadikan sebagai ‘eco-bricks’, katanya.

Selain itu, kata beliau, Majlis Sukan Wilayah Persekutuan Labuan akan menganjurkan kira-kira 11 acara yang bertujuan menyemarakkan lagi semangat kesukanan dalam kalangan warga Labuan.

“Antara acara yang dianjurakan adalah ‘Fun Walk; Fun Ride; Fun Run; Lawn Bowls; Petanque; Bola Tampar Pantai dan Kayak dari Labuan ke Pulau Papan.

“Selain itu, sukan tradisonal turut dianjurkan melibatkan lima acara, futsal, beyblade dan e-sport dengan anggarkan lebih 3,000 penyertaan,” katanya.

Tambah Amir, dengan program yang telah diatur, pihaknya yakin program pada SHWP 2020 sentiasa dinanti-nantikan oleh semua warga Labuan.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas