Debaran Olimpik 2020 Zidane

Debaran Olimpik 2020 Zidane

Oleh AINI MAWAWI
ainiwilayahku@gmail.com

PEMAIN hoki kebangsaan, Tengku Ahmad Tajuddin Tengku Abdul Jalil mengakui berdebar dalam menanti keputusan pasukan yang bakal berentap untuk ke Sukan Olimpik Tokyo yang akan diketahui minggu hadapan.

Menurutnya majlis undian yang akan dijalankan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH) tersebut akan diadakan di ibu pejabat FIH di Lausanne, Switzerland dan disiarkan secara ‘live streaming’ di Facebook FIH.

“Ia adalah suatu yang sangat mendebarkan dan ditunggu-tunggu sekian lama. Namun kami juga berdepan dengan tugas berat bagi merebut peluang terakhir ke Sukan Olimpik 2020 Tok­yo pada pusingan kelaya­kan terakhir Oktober dan November ini.

“Walau apapun saya tetap percaya, skuad hoki kebangsaan mampu melakukan yang terbaik berdasarkan perkembangan positif kumpulan serta sesi latihan khusus yang dijalankan sejak akhir-akhir ini,” ujar penyarung jersi 23 ini.

Katanya yang mesra dengan panggilan Zidane, dengan tunjuk ajar Ketua jurulatih kebangsaan, Roelant Oltmans, Malaysia Tigers tetap bersemangat menunjukkan aksi yang cemerlang biarpun ada ketikanya tewas ketika berdepan dengan perlawanan.

“Biarpun kalah dan menang itu adat dalam suatu pertandingan namun ia juga dugaan yang berat untuk diterima. Namun se­tiap kali berpeluang beraksi, saya pasti akan melakukan yang terbaik untuk negara,” ujarnya yang telah men­jaringkan 125 gol selama ini.

Mula terlibat secara serius dalam sukan ini ketika bersekolah di Sekolah Sukan Bukit Jalil, pemain berusia 33 tahun ini menjadikan legenda hoki negara, Datuk Mirnawan Nawawi sebagai idolanya sejak sekian lama.

“Beliau berjaya membantu pasukan untuk kekal unggul dengan kemahiran bermain dan juga merupakan penjaring gol yang sangat handal ketika era 90-an. Malah saya juga masih ingat gol yang hebat ketika beliau menentang India pada Piala Dunia 2002 di Bukit Jalil,” ujarnya.

Suka mengembara

Memandangkan waktu­nya begitu padat dengan latihan dan perlawanan hoki, selain menghabiskan masa bersama keluarga, kerabat diraja Kedah ini gemar mengembara ke negara orang bagi mengutip pengalaman.

“Saya suka melancong ke setiap pelosok negara untuk melihat tempat-tempat baharu, berjumpa kenalan serta dalam masa yang sama merasai perbezaan cuaca di negara orang. Itu adalah perkara yang saya minati,” ujar­nya.

CATEGORIES