Berita

Pasar Sentul bakal berwajah baharu, naik taraf

KHALID (tengah) beramah mesra dengan peniaga-peniaga yang menerima sumbangan ekoran
- Diterbit 16 Januari 2020 8:22 AM MYT

KUALA LUMPUR – Sebanyak RM30 juta bakal diperuntukkan Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) bagi memberikan wajah baharu kepada Pasar Sentul di sini melalui proses pembangunan dan pelaksanaan naik taraf yang akan dilaksanakan tidak lama lagi.

Menterinya, Khalid Abd. Samad berkata, pasar baharu itu bakal dilengkapi pelbagai kemudahan termasuk tempat letak kereta bertingkat dan ruang niaga yang lebih selesa untuk kemudahan penjaja serta pengunjung.

Beliau berkata, segala perancangan dan pelaksanaan pembangunan pasar berkenaan dijangka selesai dalam tempoh lima tahun.

“Buat masa sekarang kita perlu berunding dengan pemaju untuk menyelesaikan isu tapak sementara bagi penjaja.

“Sebaik tapak diperoleh, baru kita akan laksanakan proses lain termasuk membuka tawaran tender,’’ katanya pada Majlis Penyampaian Sumbangan Mangsa Kebakaran Pasar Sentul di sini baru-baru ini.

Dalam majlis tersebut, Khalid menyampaikan sumbangan bencana berjumlah RM1,500 kepada mangsa-mangsa terlibat.

Buat masa ini Khalid menjelaskan, sebanyak 16 gerai sementara bakal dibina bagi membantu peniaga yang mengalami kerugian ekoran insiden kebakaran gerai mereka di Pasar Sentul pada 31 Disember lalu.

Menurutnya, semua gerai itu dibina dengan kos kira-kira RM250,000 dan dijangka siap pertengahan April ini.

“Kita akan cuba bina gerai ini secepat mungkin supaya peniaga dapat mencari pendapatan. Jika ada peniaga yang ingin berniaga, mereka boleh memberi cadangan tapak sementara untuk kelulusan pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL),” jelasnya.

Khalid turut menyampaikan sumbangan bencana berjumlah RM1,500 kepada mangsa terlibat.

Hadir sama Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan; Ahli Parlimen Batu, P. Prabakaran dan Ketua Eksekutif Yayasan Wilayah Persekutuan, Zaizalnizam Zainun.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas