Berita

‘Di padang kita hanya fikir mahu jaringkan gol’

KHALID-Chin Aun
KHALID (kiri) menyampaikan cenderahati kepada Chin Aun (kanan) sambil dilihat Saifuddin Nasution selepas merasmikan Bola Sepak Perpaduan Piala Khalid Samad 2020 di Stadium Rhino KV Shah Alam baru-baru ini.
- Diterbit 16 Januari 2020 8:28 AM MYT

SHAH ALAM – Seluruh rakyat negara ini masih mengimpikan kegemilangan sukan bola sepak Malaysia yang pernah dikecapi pada tahun 1970-an.

Ketika itu, nama besar bola sepak negara dibarisi Datuk Soh Chin Aun atau dikenali sebagai tauke, penyerang legenda, Allahyarham Mokhtar Dahari, mendiang R. Arumugam, Datuk Santokh Singh, Datuk Shukor Salleh dan lain-lain lagi.

Sewaktu zaman kegemilangan itu, pasukan negara telah berjaya menewaskan pasukan Korea Selatan sekali gus layak ke Olimpik 1980 di Moscow namun kerajaan bertindak memboikot kerana pencerobohan Rusia ke atas Afghanistan.

Apa yang masih diingati ialah skuad negara yang dibarisi pemain terdiri daripada pelbagai kaum itu berjaya membentuk sebuah pasukan yang hebat hingga digelar gergasi bola sepak Asia.

Suasana itu diimbau kembali apabila apabila baru-baru ini, Chin Aun bersama-sama beraksi dengan Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abd. Samad dan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail di atas padang bola untuk menghantar mesej perpaduan kepada seluruh rakyat Malaysia.

Dalam Pertandingan Bola Sepak Perpaduan Piala Khalid Samad 2020 yang dianjurkan Parti Amanah Negara Kawasan Shah Alam di Stadium Rhino KV Arena Shah Alam, sebanyak 16 pasukan dengan masing-masing dibarisi pemain berbilang kaum berjaya menonjolkan semangat perpaduan yang disemai melalui acara sukan bola sepak.

Chin Aun melahirkan rasa gembira kerana melihat peserta dari pelbagai kaum menyertai pertandingan itu.

“Kalah dan menang bukan ukuran kerana yang penting adalah kebersamaan sebagai rakyat Malaysia dan bermain dengan semangat kesukanan yang tinggi,’’ katanya.

Chin Aun berkata, beliau mahu melihat Malaysia menjadi lebih baik dan sukan sepatutnya menjadi salah satu cara menyatupadukan rakyat.

“Kita perlu ada pertandingan (berkonsep) sebegini. Di padang, kita bersama bermain bola, kita lupakan perkara lain.

“Hanya fikir bagaimana untuk jaringkan gol. Itu sahaja. Kita tidak bercakap soal politik atau perkara lain.

“Kita mahu menang dalam pertandingan bola sepak, bukan menang dalam isu-isu sebegini (isu perkauman),” katanya.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas