Berita

Pasar Borong Selayang ditutup sementara untuk sanitasi

DBKL merentangkan pita kuning sebagai tanda Pasar Borong Kuala Lumpur atau lebih dikenali Pasar Borong Selayang ditutup sementara.
- Diterbit 21 April 2020 9:54 AM MYT

PUTRAJAYA – Pasar borong Selayang hanya ditutup empat hari dan bukannya 14 hari, ” kata Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau menegaskan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) hanya dilakukan di kawasan sekitar dengan melibatkan lapan lokaliti.

“Ramai pekerja di pasar borong itu adalah mereka yang tinggal di kawasan sekitar.

“Tujuan penutupan pasar borong itu selama empat hari bagi membolehkan proses sanitasi dijalankan,” katanya dalam sidang akhbar harian di sini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kebimbangan berlakunya kekurangan bahan mentah di sekitar Lembah Klang.

Ismail Sabri turut menjelaskan kerajaan akan meminta Kementerian Kesihatan (KKM) mengambil tindakan saringan terhadap peniaga supaya tiada jangkitan Covid-19.

Semalam, lapan lokaliti di sekitar pusat bandar utara Kuala Lumpur dan Pasar Borong Selayang diletakkan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) sehingga 3 Mei depan.

Lapan lokasi itu melibatkan Jalan 6/3a, Jalan 6/3a dan Jalan 9/3a, Jalan 2/3a di pusat bandar utara Kuala Lumpur.

Selebihnya adalah merangkumi 2/3a, pusat bandar Kuala Lumpur, Taman Sri Murni fasa satu hingga di Jalan 1/2d dan Jalan 1/2b serta Taman Batu View dan Taman Batu Hampar. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas