Berita

Penghantar makanan di Labuan jalani saringan Covid-19 percuma

PROSES saringan perlu dipertingkatkan bagi mengesan kemungkinan ada kes positif Covid-19.
- Diterbit 21 April 2020 10:18 AM MYT

LABUAN – Labuan merupakan antara negeri terawal menjalankan saringan Covid-19 secara percuma kepada penghantar makanan di pulau ini bermula  hari ini.

Program yang berlangsung selama tiga hari bermula pukul 10 pagi hingga 3 petang itu bertujuan memastikan kumpulan terbabit bebas daripada wabak itu.

Tinjauan Wilayahku mendapati lebih 70 penghantar makanan menjalani saringan di Kilink Kesihatan Membedai di sini.

Laporan pada 7 April melaporkan Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dipetik sebagai berkata, penghantar makanan daripada syarikat perkhidmatan makanan disyaratkan untuk menjalani saringan kesihatan.

Dalam pada itu, umat Islam seluruh dunia bakal menyambut ketibaan Ramadan beberapa hari lagi.
Namun, kemeriahan pada tahun ini dilihat berlainan berbanding tahun sebelumnya susulan wabak Covid-19.

PENGHANTAR makanan menunggu giliran untuk menjalani saringan Covid-19.

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Labuan (PL) , Dr Fary Akmal Osman berkata, perkhidmatan penghantaran makanan di pulau ini perlu mendaftar kepada PL  bagi menjalankan penghantaran pada bulan Ramadan yang bakal menjelang tidak lama lagi.

Katanya, pendaftaran itu bertujuan untuk memudahkan penghantaran makanan berjalan pada bulan puasa nanti.

“Kita telah menetapkan syarat kepada mereka (penghantar makanan) seperti menjalani saringan Covid-19 di Klinik Kesihatan Membedai atau di mana-mana klinik swasta.

“Selain itu, mereka harus mematuhi garis panduan keselamatan makanan bagi produk makanan yang dijual melalui online.

“Tempoh operasi yang dibenarkan bermula dari pukul 8 pagi sehingga 8 malam. Orang ramai dinasihatkan untuk berurusan dengan peniaga yang mempunyai lesen perniagaan yang sah daripada PL,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, penghantar makanan juga bakal diberikan kad pengenalan diri untuk digunakan semasa membuat penghantaran selain sebagai bukti ketika ditanya semasa sekatan jalan raya.

Sebarang permohonan boleh dibuat secara terus melalui laman sesawang Perbadanan Labuan di laman web https://www.pl.gov.my/

 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas