Berita

PKP tidak dilonggarkan meskipun kes positif baharu kurang

KAWALAN terus dilakukan anggota ATM dan polis di kawasan PKPD di sekitar Pasar Borong Selayang. SEMUA akses keluar masuk dikawal polis dan ATM.
- Diterbit 21 April 2020 9:51 AM MYT

PUTRAJAYA – Tiada kelonggaran sekatan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) setakat ini meskipun hanya 36 kes baharu positif dan tiada kematian akibat Covid-19 semalam.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, soal pematuhan PKP masih menjadi tanggungjawab kepada semua rakyat negara ini dengan tindakan tegas akan dikenakan kepada mereka yang ingkar PKP.

“Saya percaya bila diumumkan Ketua Pengarah Kesihatan (Datuk Dr Noor Hisham Abdullah) hanya 36 positif Covid-19 dan tiada kematian, ramai percaya perlu dilonggarkan segala sekatan dan sebagainya.

“Saya harap selagi PKP tidak ditamatkan, tiada SOP baharu diperkenalkan kerajaan, PKP dan SOP yang ada pada hari ini masih terus kekal.

“Jangan lupa, ada sesetengah negara yang melonggarkan sekatan mereka apabila kes berkurangan dan sebagainya. Namun akhirnya berlaku peningkatan Covid-19 semula sehingga terpaksa isytihar darurat,” katanya dalam sidang akhbar harian di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Ismail Sabri berkata, seramai 946 individu ditahan dengan 824 sekatan dijalankan di seluruh negara melibatkan pemeriksaan sebanyak 603,314 kenderaan.

Kata beliau, daripada jumlah ditahan menyaksikan 820 individu direman dengan 124 diberikan jaminan polis.

“Selain itu, didapati seramai 433 individu yang ditahan adalah di kawasan zon merah di samping 101 individu telah didakwa di mahkamah.

“Jumlah tangkapan kumulatif setakat semalam adalah seramai 16,870,” katanya. – WILAYAHKU

 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas