Pasangan warga emas menangis kegembiraan lengkapkan dos kedua vaksin
PASANGAN suami isteri warga emas itu antara 548 penduduk di Pasir Kelang yang terletak di kawasan pedalaman Kelantan menerima dos kedua suntikan vaksin pada Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) di kampung berkenaan.

Pasangan warga emas menangis kegembiraan lengkapkan dos kedua vaksin

PASANGAN suami isteri warga emas tidak dapat menahan air mata kegembiraan apabila selesai melengkapkan suntikan dos kedua vaksin COVID-19 yang dilaksanakan pasukan vaksinasi bergerak Pejabat Kesihatan Daerah Kuala Krai di Kampung Sungai Takut, Pasir Kelang, di sini.

Siti Haminah Abdullah, 74, berkata dia bersama suami Manaf Mamat, 86, pernah terfikir tidak akan menerima suntikan vaksin memandangkan mereka tinggal di kawasan pedalaman serta tidak mampu untuk pergi ke pusat pemberian vaksin (PPV) di masjid kampung berkenaan yang terletak dua kilometer dari kediaman mereka.

Siti Haminah berkata suaminya tidak boleh bergerak kerana uzur dan hanya berharap kepada dirinya untuk membantu sebarang urusan berikutan anak mereka bekerja di luar Kelantan.

“Kami terima dos pertama pada 16 Jun lepas, bersyukur kerana ‘misi’ (jururawat) datang lagi hari ini bersusah payah hingga terpaksa mengharungi sungai menaiki feri bagi memastikan kami menerima dos kedua suntikan,” katanya dalam nada sebak ketika ditemui pemberita di rumahnya.

Pasangan suami isteri warga emas itu antara 548 penduduk di Pasir Kelang yang terletak di kawasan  pedalaman Kelantan menerima dos kedua suntikan vaksin pada Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) di kampung berkenaan.

Manaf pula tidak dapat menahan tangisan kesyukuran kerana tidak sangka jangkaannya sebelum ini tersasar apabila proses vaksinasi yang dilalui sangat pantas dan mudah, tidak seperti khabar angin yang didengari sebelum  ini.

“Ada orang kata suntikan vaksin lambat terutamanya di kawasan pedalaman, sekarang tidak betul kerana saya dan penduduk kampung ini telah selesai suntikan kedua, tiada apa masalah, sakit dan sebagainya.

“Saya bangga kerana kesungguhan kerajaan terutamanya petugas Pejabat Kesihatan Daerah Kuala Krai sudi datang rumah ke rumah untuk memberikan suntikan kepada penduduk seperti saya yang uzur tidak boleh bergerak,” katanya.

Manaf turut mengingatkan orang ramai terutamanya golongan muda supaya memberanikan diri mengambil suntikan vaksin.

“Jangan takut untuk ambil vaksin, penyakit ini datang daripada Allah dan kita perlu berusaha untuk memutuskan rantaian wabak ini,” katanya. — BERNAMA

CATEGORIES