Berita

Masjid dan surau dibuka semula di Wilayah Persekutuan

MENTERI di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri
- Diterbit 8 Julai 2021 6:45 AM MYT

MASJID dan surau di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan dibuka semula kepada orang ramai dengan prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan berkuat kuasa 9 Julai 2021 iaitu esok.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri menerusi ciapan di Twitternya berkata pembukaan semula masjid dan surau adalah setelah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

“Alhamdulillah, menjunjung titah perkenan KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong atas ketetapan terkini had jemaah Solat Jumaat, Solat Fardhu dan Solat Sunat Aidiladha di masjid dalam tempoh Pelan Pemulihan Negara berfasa di Wilayah-wilayah Persekutuan,” ciapnya.

Jelasnya SOP terbaharu adalah disusun lebih terperinci dengan mengambil kira keluasan kawasan dan risiko setempat.

Ujarnya lagi beberapa buah negeri juga telah memperlihatkan kelonggaran dan pembukaan kapasiti lebih luas yang diputuskan oleh Pihak Berkuasa Agama Negeri.

“Saya juga telah mengambil maklum akan ketetapan terbaharu yang diputuskan oleh Pihak Berkuasa Agama Negeri di beberapa buah negeri.

“Beberapa buah negeri telah memperlihatkan kelonggaran dan pembukaan kapasiti lebih luas bagi jemaah masjid dan surau di negeri masing masing,” katanya.

Beliau turut berharap agar umat Islam dapat mengiimarahkan semula masjid dan surau seperti sedia kala selepas ia dibenarkan untuk dibuka semula. -WILAYAHKU- DIANA AMIR

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas