Berita

Op Bantu: 46,800 bakul makanan diagih di seluruh negara bantu keluarga terjejas COVID-19

DIANGGARKAN sebanyak 46,800 bakul makanan yang mengandungi barangan keperluan asas antaranya beras, minyak masak dan gula akan dihulurkan kepada setiap keluarga oleh 156 Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) di seluruh negara.
- Diterbit 8 Julai 2021 6:51 AM MYT

BUKAN hanya menjalankan tugas penguatkuasaan malah Polis Diraja Malaysia (PDRM) turut bersama-sama membantu menghulurkan bantuan makanan kepada keluarga yang terkesan akibat pandemik COVID-19 melalui Op Bantu.

Dianggarkan sebanyak 46,800 bakul makanan yang mengandungi barangan keperluan asas antaranya beras, minyak masak dan gula akan dihulurkan kepada setiap keluarga oleh 156 Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) di seluruh negara.

Timbalan Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Bukit Aman Datuk Saiful Azly Kamaruddin berkata ini bermakna kira-kira 300 keluarga akan menerima manfaat tersebut untuk setiap IPD.

“Bagi fasa pertama iaitu pada semalam, sebanyak 10 bakul makanan diserahkan manakala 10 bakul lagi akan diserahkan esok kepada keluarga yang memerlukan (oleh setiap IPD).

“Bagi fasa seterusnya, bantuan bakul makanan akan diserahkan selepas mendapat lampu hijau daripada Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat,” katanya kepada Bernama hari ini.

Saiful Azly berkata bantuan makanan itu akan berterusan sehingga COVID-19 tamat dan tidak semestinya terhenti apabila kesemua bakul makanan diserahkan.

Op Bantu yang bermula semalam diketuai lebih 150 Ketua Polis Daerah seluruh negara dan melibatkan Skuad Aman Wanita di bawah PDRM serta anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia di peringkat daerah yang ditugaskan untuk menyampaikan bantuan segera.

Dalam pada itu, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur turut mengagihkan 120 bakul bekalan makanan kepada 120 keluarga warga kota termasuk Putrajaya yang memerlukan, semalam dan 60 bakul makanan lagi akan diagihkan hari ini.

Ketua JPJKK Kuala Lumpur SAC Datuk Azman Ayob berkata antara kawasan yang diberikan adalah Flat Danau Kota, Kampung Chubadak Tambahan, Pangsapuri Awam Sri Johor, Apartment Putra Ria dan Pangsapuri Putra Harmoni.

Sementara itu, di Kelantan, dua ibu tunggal, Suriana Zakaria, 44, yang mempunyai lapan anak berusia antara empat dan 20 tahun dan Rohaya Haslina Abdullah, 49, yang hilang pendapatan sebagai pengasuh antara penerima bantuan itu.

Timbalan Ketua Polis Kelantan SAC Abdullah Muhammad Piah berkata Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan dibekalkan 3,000 bakul makanan oleh KDN dan akan diagihkan kepada Ketua-ketua Polis Daerah di kawasan masing-masing. — BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas