Berita

Pasangan suami isteri bebas Covid-19, 9 dijangka keluar wad

DR. MASLIZA (tengah) bersama pasangan suami isteri (kes 7 dan 8) yang dibenarkan keluar wad hari ini. - Foto: Ihsan KKM
- Diterbit 18 Februari 2020 1:54 PM MYT

PUTRAJAYA – Pasangan suami isteri yang disahkan terkena jangkitan Coronavirus Diease 2019 (Covid-19) dan dirawat di Hospital Permai, Johor Bahru dibenarkan pulang hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, kedua-dua pesakit tersebut merupakan kes ke-7 dan ke-8 yang direkodkan pihaknya.

“Kes ke-7 dimasukkan ke hospital pada 27 Januari lepas dan keadaannya semakin merosot pada hari ketiga disebabkan Hypoxia selain beberapa keadaan kronik yang lain. Pada hari kesembilan, kesihatannya mula bertambah baik yang mana dua kali ujian pengesanan Covid-19 menunjukkan negatif.

“Bagi kes ke-8 iaitu isterinya, dia dikesan semasa pemeriksaan kenalan rapat dilakukan yang mana simptom jangkitan seperti batuk dan sakit tekak kelihatan pada hari kedua dimasukkan ke hospital,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Noor Hisham, dia kemudiannya dibenarkan pulang selepas keputusan ujian Covid-19 pada 5 Februari lalu adalah negatif, bagaimanapun, dia mahu berada di hospital sehingga suaminya sihat sepenuhnya.

Jelas beliau, kedua-dua mereka dibenarkan keluar wad hari ini selepas sampel untuk ujian yang diambil sekali lagi menunjukkan negatif.

Ujarnya, susulan itu, pasangan terbabit mengucapkan terima kasih kepada pasukan perubatan Dr. Masliza Zaid, Pengarah Hospital terbabit, Dr. Aman Rabu serta jururawat dan pihak terlibat.

Dalam pada itu, Noor Hisham memaklumkan bahawa sembilan lagi pesakit yang masih dirawat dijangka dibenarkan pulang dalam tempoh satu atau dua minggu lagi. – WILAYAHKU

PASANGAN suami isteri yang bebas Covid-19 di Hospital Permai, Johor Bharu bergambar kenangan bersama pasukan perubatan di hospital berkenaan selepas dibenarkan pulang hari ini. – Foto: Ihsan KKM
Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas