Berita

Warga kota digalak kemuka idea, maklum balas PSKL 2040

|
- Diterbit 18 Februari 2020 12:13 PM MYT

KUALA LUMPUR –  Orang ramai diberi peluang mengemukakan maklum balas dan idea terhadap draf Pelan Struktur Kuala Lumpur 2040 (PSKL2040) yang sedang dipamerkan dalam tempoh satu sebelum ia diwartakan menjelang hujung tahun ini.

Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abd. Samad berkata, bagi memudahkan proses pengumpulan maklumat berhubung perkara itu, pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) membuka pameran utama di Menara 1 DBKL setiap hari termasuk cuti umum bermula pukul 9 pagi hingga 5 petang sehingga 18 Mac ini.

“Selain itu, pameran mini bergerak juga diadakan di Perpustakaan Kuala Lumpur cawangan Taman Tun Dr. Ismail (TTDI) dari 18 hingga 24 Februari dan Pejabat DBKL cawangan Lembah Pantai serta Seputeh dari 25 Februari hingga 3 Mac ini.

“Selain itu, pameran ini turut diadakan di pusat membeli-belah AEON Maluri dan AEON Wangsa Maju pada 4 hingga 10 Mac manakala AEON Kepong dan AEON Endah Parade dari 11 Mac hingga 17 Mac,” katanya ketika berucap merasmikan Pameran Draf Pelan Struktur Kuala Lumpur 2040 di Auditorium DBKL di sini hari ini.

Khalid berkata,  laman web draf PSKL2040 di http://www.dbkl.gov.my/klmycity2040/ disediakan bagi memudahkan orang awam dan pihak berkepentingan memeriksa draf pelan tersebut serta mengemukakan pandangan, cadangan serta idea secara maya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas