Berita

Alteca sumbang 1000 unit kit ujian vaksin Coretests kepada HCTM

Prof. Dato' Dr. Razman Jarmin (Kanan) bergambar bersama-sama Pengerusi Altica Sdn Bhd
- Diterbit 19 Ogos 2021 6:30 AM MYT

SEBUAH syarikat pembekal alat-alat perubatan, Altica Sdn. Bhd. menyerahkan 1,000 unit Kit Ujian Peneutralan Antibodi (vaksin) Coretests kepada barisan petugas hadapan yang telah menerima dos lengkap vaksin COVID-19 di Hospital Canselor Tuanku Mukhriz Universiti Kebangsaan Malaysia (HCTM) .

Kit Ujian Peneutralan Antibodi Coretests ini merupakan alat mengesan vaksin dalam badan bagi mereka yang telah menerima vaksin lengkap.

Pengarah HCTM, Prof. Dato’ Dr. Razman Jarmin (Kanan) bergambar bersama-sama Pengerusi Altica Sdn Bhd, Prof. Emeritus Tan Sri Dato’ Dr. Mohamed Salleh Mohamed Yassin, Pro Naib Canselor Kampus Kuala Lumpur UKM ,Prof. Datuk’ Dr. Hanafiah Harunarashid dan Pengarah Altica Sdn Bhd, Dr. Asmawi Ahmad pada majlis penyerahan sumbangan 1000 unit Coretest kepada barisan petugas hadapan HCTM.

Pengarahnya, Dr. Asnawi Ahmad berkata, ujian tersebut penting bagi memastikan kadar antibodi peneutralan yang dihasilkan selepas dos vaksinasi lengkap sentiasa berada pada kadar yang optimum dan melindungi petugas barisan hadapan.

“Melalui sumbangan ini diharap dapat membantu petugas barisan hadapan HCTM memastikan mereka sentiasa mempunyai sistem imun yang optimum ketika membantu pesakit-pesakit dan juga lebih berjaga-jaga kepada ahli keluarga yang belum menerima vaksin pada persekitaran yang sentiasa berisiko kepada jangkitan.

“Kit ujian Neutralizing Antibody antara yang pertama seumpamanya di negara ini telah melalui ujian penilaian di Institut Penyelidikan Perubatan (IMR), sebuah institusi dibawah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pada bulan Mei 2021 yang lalu,” katanya selepas majlis penyerahan di Lobi Blok Pendidikan, HCTM, baru-baru ini.

KIT ujian Peneutralan antibodi adalah bagi mengesan kehadiran antibodi peneutralan (vaksin) dalam tubuh boleh didapati di farmasi, klinik dan hospital.

Sumbangan kit ujian vaksin yang bernilai lebih kurang RM40,000 itu diserahkan oleh Pengerusi Altica Sdn Bhd, Prof. Emeritus Tan Sri Dato’ Dr. Mohamed Salleh Mohamed Yassin kepada Pro Naib Canselor Kampus Kuala Lumpur UKM, Prof. Dato’ Dr. Hanafiah Harunarashid.

Turut hadir semasa sesi penyerahan itu ialah Pengarah HCTM, Prof. Dato’ Dr. Razman Jarmin.

PENGARAH Altica Sdn Bhd, Dr Asnawi Ahmad.

Dr. Asnawi Ahmad menambah, melalui ujian penilaian di IMR, keputusan analisis terhadap Coretest mencapai tahap sensitiviti dan ketepatan sebanyak 100 peratus.

“Maknanya alat ini sangat sensitif dan spesifik secara kualitatif untuk mengetahui kehadiran antiobidi peneutralan seseorang yang pernah dijangkiti virus COVID-19 atau telah mendapat kadar antibodi peneutralan yang cukup setelah pemberian vaksin lengkap.

“Cara penggunaanya juga mudah dengan hanya 2 hingga 3 titis darah yang dititiskan di ruang sampel. Setelah itu cairan buffer sebanyak dua titis dimasukkan ke dalam ruang sampel yang sama supaya darah bergerak ke arah baris T untuk mendapatkan keputusannya dalam tempoh masa lebih kurang 10 ke 15 minit,” ujarnya.

Sementara itu, Pengarah HCTM, Prof. Datuk Dr. Razman Jarmin ketika ditemui berkata, pihaknya sangat mengalu-alukan sumbangan tersebut untuk menilai keberkesanan antibodi penuetralan dalam tubuh selepas menerima dos lengkap vaksin.

“Pada zaman COVID-19 ini memang semua orang berisiko mendapat jangkitan dan melalui pemberian vaksin ia membantu kita mencegah atau mengurangkan risiko jangkitan berbanding dengan mereka yang tidak menerimanya.

“Melalui ujian kit seperti Coretests, walaupun bukan satu kemestian daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) tetapi saya berpendapat ia salah satu ujian yang bagus digunakan sebagai ujian kendiri di mana rakyat boleh melakukan sendiri untuk mengesan keberkesanan vaksinasi.

“Walaupun ujian ini bersifat kualitatif berbanding dengan ujian kuantitatif yang dijalankan di makmal tetapi sekurang-kurangnya kita tahu apabila mempunyai antibodi yang positif ia membantu melindungi diri daripada jangkitan COVID-19.

“HTCM akan menggunakan kit ini sebaiknya dan mungkin kami akan setarakan dengan ujian-ujian klinikal yang berkaitan dengan penyiasatan antibodi terhadap COVID-19,” katanya.

Kit Ujian Coretests Neutralizing Antibody boleh didapati di kebanyakan farmasi, klinik dan hospital dengan harga jualan antara RM39 hingga RM 49 seunit. – WILAYAHKU

 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas