Berita

Pantau tapak binaan, rumah kongsi pekerja kontrak

TAN SRI ANNUAR MUSA
- Diterbit 3 Mei 2020 9:11 AM MYT

KUALA LUMPUR – Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) diarahkan membuat pemantauan terhadap tapak-tapak pembinaan di ibu kota agar pihak pemaju dan kontraktor mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) mulai esok (4 Mei).

Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri TPr. Annuar Musa berkata, langkah tersebut bagi memastikan tapak pembinaan tidak menjadi tempat penularan wabak Covid-19 terutamanya membabitkan penempatan rumah kongsi pekerja yang kadang-kadang berkeadaan sesak.

“Sebelum ini saya tegur pasar borong dan akhirnya terbukti menjadi tempat penularan wabak, jadi ini saya tegur rumah-rumah kongsi pekerja di tapak-tapak pembinaan di Kuala Lumpur.

“Saya ingin pastikan supaya Kuala Lumpur yang banyak aktiviti pembinaan memastikan kebersihan dan keselamatan menjadi perkara utama, walaupun nak jimat belanja tetapi tidak boleh gadaikan kepentingan kebersihan dan keselamatan,” katanya dalam sesi Live di laman Facebooknya hari ini.

Sesi tersebut turut disiarkan secara langsung di Facebook Wilayahku.

Annuar yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kerja Keselamatan Negeri WP berkata, berdasarkan pemerhatian dan rekod di tapak pembinaan, kementerian dan DBKL ingin memberikan peringatan kepada kontraktor utama dan pemaju dalam mengendalikan pekerja mereka wajib patuhi garis panduan seperti menyediakan rumah kongsi.

Namun kata beliau, pihaknya mendapati banyak berlaku ketidakpatuhan kepada arahan tersebut dan sekarang ditakuti menjadi pembawa kepada penularan wabak Covid-19.

Justeru tegas beliau, pihaknya telah mengarahkan Datuk Bandar Kuala Lumpur supaya membuat penguatkuasaan terhadap kontraktor yang gagal patuhi peraturan perlu didenda, dikenakan kompaun atau tapak pembinaan ditutup.

“Kita juga ingin memastikan bagi mereka yang hendak memulakan semula aktiviti terutamanya kilang, pekerja mereka mesti buat ujian untuk pastikan bebas daripada Covid-19,” katanya.

Tambahnya, kontraktor binaan yang banyak menggunakan pekerja asing berisiko tinggi hendaklah menjalankan ujian Covid-19 ke atas pekerja mereka dengan kos khidmat klinik serta makmal ditanggung pihak majikan sendiri.

“Mana-mana tapak pembinaan yang ada kes positif dan kalau rumah pekerja dibina di dalam kawasan tapak binaan, kita tidak ada pilihan selain mengosongkan tapak pembinaan itu dan semua pekerja mereka perlu dikuarantinkan.

“Kos kuarantin akan ditanggung pihak kontraktor atau syarikat pemaju berkenaan untuk dibawa ke hotel atau premis yang telah diwartakan sebagai pusat kuarantin,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas