Utama

Anggota polis di SJR maut dirempuh pemandu mabuk

KENDERAAN yang terbabas turut menghempap mangsa.
- Diterbit 3 Mei 2020 3:50 AM MYT

KUALA LUMPUR – Seorang anggota polis maut selepas sebuah pacuan empat roda disyaki dipandu pemandu mabuk merempuh sekatan jalan raya (SJR) Op Covid-19 di Plaza Tol Kajang Selatan Lebuhraya Kajang-Seremban (LEKAS) awal pagi tadi.

Dalam kejadian pukul 2.11 pagi itu, Koperal Safwan Muhammad Ismail, 31, meninggal dunia di lokasi akibat kecederaan parah di kepala dan badan apabila kenderaan pacuan empat roda terbabit dipercayai turut terbalik dan menghempap mangsa.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd. Zaid Hassan berkata, ketika kejadian mangsa bersama beberapa anggota lain sedang bertugas menjaga kawalan SJR berkenaan.

“Nahas berlaku apabila sebuah Toyota Hilux dipandu seorang lelaki berusia 44 tahun merempuh anggota terbabit dan kenderaan polis yang berada di lokasi.

“Laporan berhubung kejadian itu sudah dibuat oleh penyelia SJR berkenaan, namun pemandu Hilux masih belum berbuat demikian. Siasatan nahas dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah Mohd. Zaid, jenazah mangsa dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Serdang untuk urusan bedah siasat.

Difahamkan, Allahyarham yang berasal dari Ipoh, Perak adalah anggota di Bahagian Pendakwaan dan Undang-undang (D5), Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas