MENTERI Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim bersyukur Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Perdana Menteri dan Anggota Jemaah Menteri 2022
berjalan lancar sekali gus menzahirkan ucapan terima kasih kepada seluruh Keluarga Malaysia yang hadir ke majlis tersebut.
Beliau berkata, ini adalah peluang berharga buat seluruh rakyat Malaysia yang terdiri daripada pelbagai bangsa dan agama untuk bersama-sama meraikan perayaan Hari Raya Aidilfitri selepas dua tahun tersekat susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan penularan wabak Covid-19.

“Hari ini (Ahad), saya berkesempatan mengunjungi Rumah Terbuka Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan menyambut hari raya bersama seluruh warga Malaysia. Setelah dua tahun tidak dapat mengadakan rumah terbuka, apabila ia dibuat oleh PM, sambutan dan kehadiran daripada pengunjung amat menggalakkan,” katanya kepada Wilayahku.
Pada majlis tersebut, beliau bersama Ismail Sabri dan tiga orang jemaah menteri iaitu Senator Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin; Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu serta Tan Sri Datuk Seri Mohd Zuki Ali menyerahkan duit raya kepada pengunjung yang beratur di hadapan pentas utama ketika sesi beramah mesra bermula pukul 3 petang sehingga majlis selesai.

Sementara itu, Shahidan memaklumkan program-program Hari Raya Aidilfitri di peringkat Wilayah Persekutuan (WP) turut dilaksanakan bermula minggu ini.
“Di peringkat Wilayah, kita mengadakan Hari Terbuka Wilayah Persekutuan, program Aidilfitri Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan ada juga bahagian bahagian tertentu yang turut mengadakan Majlis Hari Raya,” jelasnya. – WILAYAHKU