Berita

PBT kaji laluan khas kenderaan mikromobiliti

PENGGUNAAN kenderaan mikromobiliti di atas jalan adalah membahayakan bukan sahaja kepada pengguna kenderaan tersebut, malah kepada pengguna jalan raya yang lain.
- Diterbit 12 Mei 2022 3:05 AM MYT

PIHAK berkuasa tempatan (PBT) di tiga Wilayah Persekutuan (WP) digesa untuk membuat kajian terperinci dalam menyediakan kemudahan infrastruktur bagi menyokong penggunaan kenderaan mikromobiliti.

Menurut Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Jalaluddin Alias jalan alternatif khas perlu diwujudkan buat semua pengguna kenderaan mikromobiliti seperti mana terdapat laluan khas untuk motosikal, basikal dan pejalan kaki.

“Apapun ia memerlukan kajian menyeluruh terlebih dahulu sebelum cadangan tersebut diimplementasi di Wilayah Persekutuan,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Dalam pada itu, Jalaluddin berkata tindakan kerajaan melarang kenderaan mikromobiliti dari digunakan di atas jalan berkuat kuasa serta-merta adalah amat tepat.

“Antara kawasan yang memiliki kadar penggunaan tinggi terhadap kenderaan mikromobiliti ini adalah WP Kuala Lumpur.

“Di Putrajaya dan Labuan juga tidak terkecuali, ramai yang memilih menggunakan kenderaan jenis Moped yang mempunyai 2/3 roda dengan punca kuasa dari sumber elektrik untuk bergerak ke tempat kerja dan lain-lain destinasi,” tambahnya.

Jelasnya, larangan mengikut Kaedah-Kaedah Lalu Lintas (Larangan Penggunaan Kenderaan Mobiliti Tertentu) 2021 itu bertujuan menghindari dari bahaya kepada pengguna.

“Dengan keadaan jalan raya yang sering mengalami kadar penggunaan yang tinggi saban hari, maka kenderaan sebegini mampu menjemput risiko kemalangan di jalan raya.

“Tindakan ini bukanlah tanda tidak menyokong penggunaan kenderaan jenis tersebut, namun ia bertujuan menyelamatkan nyawa para pengguna secara keseluruhannya,” ujarnya.

Beliau juga berharap pengguna jalan raya di WP untuk terus mengamalkan sikap berhemah dan kekal mematuhi peraturan jalan raya demi kesejahteraan bersama.

Sementara itu, Pegawai Tugas-Tugas Khas kepada Menteri Pengangkutan, Mike Chong Yew Chuan berkata larangan penggunaan kenderaan mikromobiliti hanyalah di atas jalan raya dan bukanlah larangan secara menyeluruh.

“Orang awam masih boleh menggunakan kenderaan tersebut, tetapi hanya di tempat-tempat yang dikhaskan yang akan ditentukan oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan serta pihak PBT,” katanya.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong pada 26 April lepas mengumumkan kenderaan mikromobiliti seperti Moped, Personal Mobility Devices (PMD) dan Personal Mobility Aids (PMA) dilarang digunakan di atas jalan raya awam. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas