Artikel

Hidup sebatang kara, Parameswaran tabah hadapi ujian

AKTIVITI kesukarelawanan membantu dirinya
- Diterbit 12 Mei 2022 12:30 PM MYT

KEHILANGAN semua ahli keluarga secara serentak sememangnya meninggalkan satu keperitan berganda dan berat ditanggung lebihlebih lagi apabila kematian tersebut berpunca daripada penularan wabak COVID-19 yang mula menyerang negara sejak awal Mac 2020.

Hidup sebatang kara sekelip mata setelah kehilangan ayah, emak dan abang menjadikan Parameswaran Kunaseigaran, 35, hidup dalam perasaan kesal, sedih dan trauma tatkala dia masih berperang dengan Sindrom Long COVID-19 seperti kesukaran bernafas apabila melakukan aktiviti (exertional dyspnea), masalah kulit dan juga mental.

Perasaan sedih masih menyelubungi kerana tidak berpeluang bertemu ayah, emak serta abang pada saat-saat terakhir dan hanya dibenarkan melihat proses pengebumian daripada jauh sahaja.

“COVID-19 memang jahat sebab kita tak nampak dan saya sendiri sudah mengalaminya sehingga seluruh ahli keluarga tewas akibat wabak tersebut,” katanya ketika dihubungi Wilayahku pada Selasa.

Berkongsi dengan wartawan Wilayahku, dia tidak menyangka akan kehilangan anggota keluarganya terutama abang dan ayah kerana mereka tidak mempunyai sebarang penyakit kronik.

“Sehingga kini saya tidak percaya mereka sudah tiada. Emak menghidap penyakit jantung tetapi abang dan ayah memang bersih rekod kesihatannya. Cuma pada ketika itu, kami semua belum menerima suntikan vaksin melainkan ayah sahaja yang sempat mengambil suntikan pertama.

“Masih terbayang dalam ingatan perbualan bersama mendiang ibu bertanyakan kenapa sudah lama tidak menghubunginya tetapi saya sama sekali tidak terasa dengan pertanyaannya kerana beliau tidak tahu keadaan saya sangat lemah waktu itu. Tak sangka itu adalah pertanyaan terakhir darinya.

“Walaupun rasa sedih dan terkilan tiada di sisi mereka saat akhir, saya reda dengan ketentuan Tuhan,” luahnya dalam nada sebak.

Baginya, kehilangan mereka merupakan dugaan yang paling besar dalam hidupnya dan menganggap dia adalah punca mereka kena COVID-19.

“Sebenarnya pada 3 Jun tahun lalu saya mula mengalami simptom seperti demam, batuk, selesema, sakit tekak dan telah mendapatkan ubat di farmasi.

“Keesokan harinya suhu badan saya mula naik dan badan menggigil,” ujarnya yang mendapatkan rawatan di Hospital Canselor Tuanku Muhriz Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM).

Tambahnya, doktor turut mencadangkan dia untuk membuat ujian Polymerase Chain Reaction (PCR) di Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) atau klinik swasta berdekatan memandangkan dia menetap di kawasan Zon Merah.

“Pada 6 Jun, saya menerima panggilan daripada PKD sebelum diarah untuk ditempatkan di Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 (PKRC) Malaysia Agro Exposition Park Serdang (MAEPS).

“Semasa di MAEPS, keadaan saya sangat lemah sehingga pengsan. Saya telah diberikan rawatan kecemasan dengan segera dan dipindahkan ke ruangan pemerhatian untuk tujuan pemantauan pasukan perubatan dengan lebih dekat.

“Selepas dua hari, keadaan saya bertambah merosot dan kadar oksigen semakin menurun. Tanpa berlengah, pasukan perubatan bertugas bergegas memasang alat bantuan pernafasan (oksigen) dan memindahkan saya ke Hospital Sungai Buloh untuk mendapatkan rawatan selanjutnya,” ujarnya.

PARAMESWARAN ketika ditempatkan di Hospital Sungai Buloh setelah kadar oksigennya turun secara mendadak.

Ibarat mati hidup semula, Parameswaran meluahkan rasa syukur selepas disahkan bebas daripada virus berbahaya itu dan dibenarkan pulang ke rumah untuk menjalani rawatan pulih yang mengambil masa antara tiga hingga enam bulan.

KERINDUAN TIADA PENGHUJUNG

TATKALA seluruh rakyat Malaysia berpusu-pusu pulang ke kampung halaman dan membuat persiapan hari raya, pemuda berasal dari Cheras ini merindui kenangan manis bersama ahli keluarganya yang turut menyambut perayaan Aidilfitri setiap tahun meskipun berbangsa India.

SELAIN berpuasa, Parameswaran turut melakukan persiapan bagi menyambut Hari Raya Aidilfitri bersama jiran-jirannya.

“Setiap tahun kami akan menyambut perayaan ini dan turut melakukan aktiviti mengunjungi jiran, sanak-saudara dan kawan-kawan walaupun berlainan agama.

“Saya sangat merindui masakan emak pada setiap perayaan terutama Hari Raya Aidilfitri. Awal pagi lagi dia akan kejutkan saya untuk membantunya menghantar juadah hari raya kepada jiran-jiran. Sekarang semua itu hanya tinggal kenangan.

“Selalunya saya sambut dengan keluarga tetapi tahun ini pada hari raya pertama saya menyambutnya bersama kawan-kawan,” ujarnya.

Dalam pada itu, Parameswaran menasihati orang ramai untuk mendapatkan vaksin sebagai perlindungan diri dan keluarga kerana menurutnya langkah tersebut adalah usaha bersama rakyat Malaysia dalam mengekang penularan COVID-19 daripada terus berleluasa.

“Walaupun setiap vaksin mempunyai kesan sampingan seperti kesakitan otot, demam atau sakit kepala, namun keadaan tersebut bukanlah satu petanda yang buruk. Sedikit ketidakselesaan untuk hasil yang lebih baik.

“Bukan itu sahaja, kita semua perlu terus mengekalkan penjarakan fizikal, memakai pelitup muka mengikut saranan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan sentiasa menjaga kebersihan, terus jaga diri walaupun kita dah memasuki fasa endemik,” pesannya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas