Berita

Pameran seni bina masjid

PUTERA Sultan Salman berkenan merasmikan pameran seni reka bentuk masjid sempena AFAMA 2019 di Muzium Kesenian Islam Malaysia di Kuala Lumpur baru-baru ini.
- Diterbit 29 November 2019 6:57 AM MYT

PUTRAJAYA – Sebanyak 25,000 pengunjung dijangka memeriahkan pameran fotografi Maqamat: Pameran Senarai Pendek Masjid Dalam Lingkungan Ketiga Anugerah Abdullatif Al Fozan Bagi Seni Bina Masjid (AFAMA) di galeri terbuka Muzium Kesenian Islam Malaysia mulai 21 November hingga 31 Januari tahun depan.

Pameran tersebut diadakan sempena AFAMA yang memberikan penonjolan kepada ciri-ciri keindahan pada seni bina masjid dalam dunia Islam.

Sempena anugerah tersebut turut dianjurkan Persidangan Antarabangsa Seni Bina Masjid (ICMA) 2019 pada 25 hingga 27 November lalu.

Gambar sebanyak 27 masjid dari beberapa negara termasuk dari Malaysia yang disenarai pendek dalam Anugerah Seni Bina Masjid Abdullatif Alfozan dipamerkan.

Majlis anugerah tersebut dan ICMA 2019 dirasmikan Pengerusi Lembaga Pemegang AFAMA, Putera Sultan Salman Abdulaziz Al Saud.

Setiausaha Agung AFAMA, Prof. Mashary Abdullah Al Naim berkata, kira-kira 250 peserta dari 12 negara mengambil bahagian dalam persidangan berkenaan.

SENI reka bentuk masjid dari pelbagai negara menampilkan keunikan masing-masing.

“Buat julung-julung kalinya, Malaysia terpilih untuk menganjurkan sebuah majlis anugerah peringkat antarabangsa di Muzium Kesenian Islam Malaysia di sini.

“Program ini merupakan anjuran kali kedua dengan kerjasama antara ATSA Architects Sdn. Bhd. (ATSA) dan Kulliyyah of Architecture and Enviromental Design (KAED), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM),” katanya dalam sidang akhbar selepas majlis perasmian Bengkel Masjid Rahmah Malaysia di sini baru-baru ini.

Turut hadir Pengarah Bahagian Dakwah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Aziz Mohamad.

Mashary berkata, bengkel berkenaan bertujuan untuk berkongsi pengalaman dalam hal ehwal tadbir urus, pengimarahan, fasiliti dan seni bina masjid di Malaysia.

“Bengkel ini anjuran kerjasama dengan Jakim untuk mencari jalan penyelesaian terbaik dalam membina masjid hijau dan mesra alam, bertukar kepakaran dalam bidang pengurusan, seni bina serta membina perkongsian pintar dan kerjasama antara semua pihak,” ujarnya.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas