Berita

Pamer rasa kesetiaan, kecintaan dengan kibar Jalur Gemilang – PM

ZAHIR rasa cinta kepada negara sempena Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia.
- Diterbit 25 Ogos 2023 3:38 AM MYT

PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ­menyeru seluruh rakyat Malaysia bersama-sama mengibarkan Jalur Gemilang sebagai bukti kesetiaan dan kecintaan terhadap negara sempena Sambutan Bulan Kebangsaan ke-66 yang disambut pada 31 Ogos dan Hari Malaysia pada 16 September.

Beliau turut mengajak ­rakyat ­meraikan bulan berkenaan di ­samping menunjukkan bahawa mereka adalah satu generasi ­rakyat yang memahami perjuangan ­generasi terdahulu dalam mencapai ­kemerdekaan untuk negara.

“31 Ogos 1957 (Hari Kemerdekaan) dan 16 September 1963 (Hari Malaysia) itu dua hari keramat bagi negara kita.

“Saya syorkan mulai ­sekarang ­sehingga 31 Ogos, Hari Kemerdekaan negara dan Hari Malaysia, 16 September, kita ­kibarkan Jalur Gemilang dengan megah.

“Di setiap kenderaan, di ­setiap jabatan, di rumah, di mana ­sahaja ­untuk menunjukkan bahawa Malaysia sekarang bangkit sebagai negara yang bersatu padu, punyai ­cita-cita, idealisme untuk ­menghayati ­semangat kemerdekaan itu.

“Kibarkan bendera Malaysia, Jalur Gemilang, Insya-Allah ia ­merupakan satu cetusan semangat baharu dan petanda perubahan ­dalam ­negara,” ujar beliau dalam video Ucapan Khas Perdana Menteri sempena Hari Kebangsaan 2023 ­terbitan Radio Televisyen Malaysia (RTM).

Sebelum ini, pada Majlis Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2023 di Bulatan Sultan Azlan Shah, Meru Raya ­pada 16 Julai lalu, Anwar ­menyeru rakyat menzahirkan kebanggaan ­kepada negara ­dengan ­mengibarkan Jalur Gemilang sepanjang bulan ­berkenaan bagi menyemarakkan lagi rasa kasih dan cinta kepada negara.

Beliau juga menyatakan ­hasrat semangat patriotik ­dalam ­kalangan rakyat perlu sentiasa disuburkan dan digelorakan bagi melahirkan ­masyarakat bersatu padu agar perpaduan dalam kepelbagaian bangsa, agama dan latar belakang diperkukuhkan.

Selaras tema Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia (HKHM) tahun ini Malaysia MADANI: Tekad Perpaduan Penuhi Harapan, Anwar ­menyifatkan ­perpaduan adalah suatu nikmat ­berharga dan merupakan aset ­penting kepada negara yang ­perlu ­dipelihara agar kemerdekaan Malaysia terus dipertahankan.

Untuk rekod, Sambutan Hari Kebangsaan pada 31 Ogos akan diadakan di Dataran Putrajaya manakala Sambutan Hari Malaysia pada 16 September berlangsung di Kuching, Sarawak. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas