Berita

Pakai ‘mask’ digalakkan, mesti patuhi jarak sosial

ORANG ramai mematuhi arahan penjarakan sosial ketika beratur di kaunter pembayaran di sebuah pasar raya di ibu kota. Foto NAZIRUL ROSELAN
- Diterbit 24 Mac 2020 5:59 PM MYT

KUALA LUMPUR – Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menarik balik arahan asalnya berhubung syarat ‘mesti’ memakai topeng muka sebelum memasuki pasar raya, kedai runcit, restoran atau pasar awam.

Dalam satu notis arahan pematuhan bertarikh 24 Mac, Datuk Bandar KualaLumpur, Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan berkata, semua pelesen, pekerja, pengunjung, pembeli dan pembekal digalakkan memakai penutup mulut dan hidung serta menyediakan dan menggunakan ‘hand sanitizer’.

Bagaimanapun, Datuk Bandar Kuala Lumpur mengarahkan pelesen, pekerja, pengunjung, pembeli dan pembekal yang ingin memasuki pasar raya, kedai runcit, restoran, pasar awam dan swasta mesti mematuhi jarak sosial (social distancing) satu meter.

“Pemilik, pekedai, persatuan dan peniaga bertanggungjawab mengawal bilangan pengunjung dalam pasar raya, kedai runcit, restoran, pasar awam dan swasta dalam satu-satu masa agar wujud jarak sosial,” katanya.

Kata notis arahan itu, tindakan penguatkuasaan di bawah Akta Kerajaan Tempatan 1976 boleh diambil terhadap pasar raya, kedai runcit, restoran, pasar awam dan swasta sekiranya gagal mematuhi arahan tersebut.

“Arahan pematuhan Bil 1/2020 yang bertarikh 22 Mac lalu dibatalkan,” kata notis arahan pematuhan itu. –WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas